ZOLKHARNAIN ABIDIN
Perembat balak tak buat perkara yang ada kena mengena dengan perkara yang boleh merosakkan aqidah. Begitu juga, semasa merembat balak, perembat tidak mendedahkan aurat.
Perbuatan rembat balak juga tak tersenarai sebagai kesalahan besar dalam agama biarpun sampai lingkup alam. Justeru, tidak ramai cerdik pandai agama mengulas mengenai kerosakan perbuatan rembat balak.
Tidak ramai agamawan yang tegur dan kritik perembat balak. Jika ditegur pun, secara sipi-sipi saja. Tidak ada dalil Quran, sunnah dan qaedah fiqh yang dibawa untuk menyokong kritikan terhadap perembat balak.
Berbeza dengan aktiviti cuci selut banjir. Gigih betul agamawan kita memberi peringatan kepada sukarelawan dan mangsa banjir. Di sana-sini dilakar garisan merah yang tak boleh dilangkau oleh sukarelawan dan mangsa.
Mangsa banjir tak boleh dedah aurat, tak boleh ambil hak orang lain, tak boleh bergaul bebas, tak boleh… tak boleh… tak boleh! Baguslah. Ingatan sebegitu memang betul dan perlu.
Sukarelawan pula tak boleh cuci rumah ibadat orang bukan Islam secara sembrono, tak boleh cuci berhala, tak boleh … tak boleh… tak boleh…! Baguslah. Peringatan ini juga betul dan penting.
“Sukarelawan dan mangsa banjir, ingat-ingatlah! Nak tolong orang boleh, tapi jaga hukum agama. Sukarelawan, nak bantu boleh, tapi jaga aqidah dan jaga aurat.” Demikian fatwa agamawan kita.
Macam biasa. Keberanian agamawan kita hanya terhadap rakyat marhaen. Hukum agama lebih senang dibaca, difatwa dan diaplikasi untuk orang awam. Garisan merah mudah dibuat untuk rakyat biasa.
Tapi, fatwa rembat balak, pemilikan saham oleh orang besar SPRM sehingga menimbulkan keraguan, tidak dibaca, ditulis dan dilafaz oleh agamawan kita. Apa sebabnya? Entah, saya pun tak tahu.
Ketika Nabi menampilkan contoh keberanian baginda menegur dan mengajak penguasa besar dunia kepada Islam, agamawan kita yang mengaku mewarisi kerja Nabi masih berkeliting di sekitar orang marhaen dan rakyat biasa.
Seribu satu hukum, fatwa dan peraturan dibuat oleh orang agama untuk orang biasa. Seolah-olah orang besar, orang utama, orang penting tak terikat dengan hukum agama, tak tertakluk kepada fatwa.
“Tidak! Agama mengikat semua orang. Ini mala fide!” Habis tu, kenapa fatwa dan hukum-hakam agama setiap hari hanya untuk orang biasa? Mana fatwa untuk perembat balak? Mana hukum untuk pelari duit rakyat?
Wahai kita semua rakyat biasa, peraturan, garisan merah dan fatwa agama hanya untuk kita. Untuk orang besar pula, garisan hijau, lapang dada dan maslahah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan