MALAYSIA DATELINE
Tindakan Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz yang menyifatkan mereka yang memperjuangkan pengeluaran one off 10,000 i-Citra dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai penghasut rakyat dikesali oleh pemimpin Umno.
Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Puad Zarkashi berkata, inilah akibat dari kerajaan yang mendapat menteri kluster kayangan yang boleh mematikan Malaysia.
“Menteri Kewangan kata, mereka yang memperjuangkan pengeluaran one off RM 10K i-Citra KWSP adalah penghasut rakyat.
“Ini Menteri dari planet mana?
“Dapat Menteri kluster kayangan macam ini boleh meninggal Malaysia dibuatnya,” kata beliau menerusi facebooknya.
Tengku Zafrul sebelum ini menyelar pihak tertentu yang sibuk menghasut rakyat berkaitan pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Beliau tidak menyebut penghasut terbabit, namun dipercayai ianya ditujukan kepada pemimpin Umno, terutama Ketua Pergerakan Pemudanya, Asyraf Wajdi Dusuki, dan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak, yang memperjuangkan pengeluaran one-off RM10,000 menerusi skim i-Citra, kononnya atas kehendak rakyat.
Selain pemimpin Umno, turut mendesak agar kerajaan membenarkan I-Citra dari KWSP adalah sekumpulan pencarum KWSP yang berdemo di depan ibu pejabat KWSP.
Demonstrasi itu diadakan di hadapan Ibu Pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kelmarin menuntut kerajaan membenarkan pengeluaran skim i-Citra one off sebanyak RM10,000 kepada pencarum.
Menurut jurucakap perhimpunan santai tersebut, Khairul Anuar Othman, pengeluaran RM10,000 penting memandangkan kesan pandemik Covid 19 yang berlarutan dan banjir besar yang melanda Selangor serta Pahang pada pertengahan Disember lalu.
“Kami adalah wakil pencarum KWSP. Pencarum KWSP mempunyai 15 juta dan hampir 10 juta yang aktif.
“Saya dan teman teman adalah pencarum tegar, kita dan pencarum datang untuk bertemu dengan CEO KWSP, kalau boleh.
“Hari ini saya ingin beritahu Perdana Menteri keluarga Malaysia Datuk Seri Ismail Sabri dan juga Menteri Kewangan Tengku Zafrul untuk dengar rintihan rakyat.
“Kami pencarum dalam kepayahan dan kesusahan, bencana bukan sahaja buat kami lebih derita, bencana buat kami lebih resah. Bencana banjir tidak cukup RM1,000 bantuan oleh kerajaan. Kami ingin meneruskan kehidupan. Ada antara kami dibuang kerja, ada yang berniaga tidak boleh berniaga. Kami mengharapkan PM dan Tengku Zafrul luluskan i Citra RM10,000, one off.
“Pertimbangkanlah suara kami ini,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan