DR MUJAHID YUSOF RAWA
Apabila kejahatan mereput ia umpama bangkai yang baunya naik ke atas menusuk deria dan memualkan. Demikianlah sesebuah negara apabila kejahatannya sudak memuncak ia mereput dan membusuk, bangkai rasuah walau disembunyikan, baunya sudah melata dihidu rakyat.
Krisis hilang kepercayaan yang melanda SPRM membimbangkan rakyat apabila Ketua Pesuruhjaya terpalit dengan tuduhan bercanggah kepentingan sedangkan beliau adalah barisan hadapan anti-rasuah. Lebih memualkan ialah penjelasan Ketua Pesuruhjaya tersebut membuka lagi pekung betapa busuknya nilai integriti di negara ini.
Tidaklah pelik hal Ketua Pesuruhjaya SPRM ini kerana semuanya bermula dengan pemimpin no 1 negara yang hilang rasa bersalah kepada rasuah, salahguna kuasa dan sogokan pangkat. Perangai ‘muka selamba’ mantan PM yang disabit kesalahan terhadap semua jenayah ini diwajarkan dengan nama perjuangan untuk membela Melayu dan disambut oleh suara ‘Melayu-Isle’ atas asalkan bukan Anwar, DAP dan PH.
Rakyat dijampi oleh pejuang Melayu-Isle dengan mentera ‘No Anwar’ ‘No DAP’, ‘Pakatan Hancing’ sedangkan bau busuk bangkai mereput dari jenayah rasuah, khianat dan membeli kesetiaan dengan kedudukan dan pangkat dipekakkan dan dibutakan!
Rasuah adalah bangkai dan pelakunya adalah pemakan bangkai tiada bezanya haram rasuah dengan haram bangkai dalam Syariat Islam. Malah bangkai rasuah lebih keji kerana kesannya kepada negara sangatlah keji dan memusnahkan kehidupan rakyat. Bangkai rasuah perlu dibuat dengan perancangan, taktik, membeli saksi dan menipu, makan bangkai hakiki tak perlu semua itu!
Rakyat perlu berada dibelakang mereka yang mahu buangkan bangkai membusuk ini, pemimpin dari semua parti politik harus bersatu tekad, bersatu hati dan bersatu tindakan untuk melihat musuh utama negara yang kini membusuk sampai ke langit negara. Bebaskan diri dari mentera Melayu-Isle yang memukau atas nama Islam dan Melayu sedangkan negara dalam bahaya angkara pemakan bangkai ini. Inilah masanya semua parti politik bangkit dari lamunan mereka dengan keselesaan kelompok masing-masing atau cuba menjadi juara syiok sendiri!
UMNO,BN mahu pun PH perlu berhimpun serentak membuat kata putus selamatkan negara kerana bangkai dah membusuk. Lupakan Keluarga Malaysia mahupun Abah yang sudah hilang deria baunya dan masih bernafas selamba sedangkan rakyat menutup hidung bau bangkai yang membusuk. Harapannya ialah semua parti politik harus duduk semeja dan lakukanlah sesuatu yang bermakna kepada rakyat!
Kontraversi Ketua Pesuruhjaya SPRM adalah kemuncak loceng amaran, jika masih selamba lagi mungkin kita akan jadi rakyat yang sudah hilang maruah, hilang rasa malu kepada kejahatan dan hilang jatidiri kita sebagai manusia. Nabi bersabda:
” Jika kamu tiada rasa malu, maka lakukakanlah apa sahaja yang kamu mahu”
Jangan berdiam diri, hapuskan bangkai yang membusuk!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan