"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Minyak sawit, ugutan India dan pendirian Pas dalam kerajaan

HISHAM FAUZI

Menjadi kerajaan bukanlah senang. Banyak pertimbangan dari pelbagai sudut perlu dibuat sebelum apa-apa keputusan dibuat dan dilaksanakan.

Sebagai contoh isu berkaitan dengan harga sawit.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini mempunyai dasar luar negara yang jelas dan lantang dalam memelihara kepentingan umat Islam di seluruh dunia.

Tun Dr Mahathir Mohamad selaku ketua kerajaan PH merupakan pemimpin Islam yang lantang mengkritik tindakan-tindakan yang dilakukan oleh mana-mana negara yang dilihat menjejaskan masyarakat Islam termasuk India.

Pada 12 Disember 2019, India telah meluluskan pindaan terhadap Akta Kewarganegaraan 1955. Pindaaan ini memberikan kewarganegaraan yang mudah kepada kalangan yang beragama Hindu, Sikh, Buddha, Parsi dan Kristian dari negara-negara Bangladesh, Afghanistan dan Pakistan. Kalangan yang menganut agama Islam walau bagaimanapun dikecualikan daripada pindaaan undang-undang ini.

Tindakan kerajaan India ini mengejutkan dunia kerana ia dilihat bertentangan dengan prinsip kemanusiaan.

Malaysia India Pakatan Harapan Pas  diskriminasi terhadap masyarakat Islam

Kira-kira 13 peratus penganut Islam daripada populasi India berjumlah 1.4 bilion dilihat dinafikan hak beragama di bawah pimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi dari Parti Bharatiya Janata (BJP).

Malah, prinsip pembentukan negara India sendiri yang berpegang kepada republik sekular di mana agama seseorang tidaklah menjadi syarat kewarganegaraan. Diskriminasi terhadap masyarakat Islam terus berlaku hinggakan untuk kekal berhijab di sekolah pun dihalang. Kalau mahu sekolah, tidak boleh pakai tudung.

Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Tun Dr. Mahathir, sewaktu bercakap dalam Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 menyatakan bahawa undang-undang tersebut bercanggah dengan prinsip India sebagai sekular kerana undang-undang itu jelas memisahkan kelayakan kewarganegaraan bagi orang Islam.

Ternyata teguran Tun Mahathir ini agak kurang disenangi oleh India hingga dilaporkan memanggil Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke India untuk memberi penjelasan.

Dan ini bukan kali pertama Tun Mahathir memberi kritikan terhadap India. Tun Mahathir sebelum ini juga lantang menyuarakan pandangannya terhadap tindakan kerajaan India di Kashmir.

Ini adalah lantaran tindakan pemerintah India yang telah meluluskan undang-undang menghapuskan autonomi wilayah majoriti Islam di Kashmir.

Pembatalan artikel 370 dalam Perlembagaan India yang memansuhkan hak istimewa Kashmir yang dinikmati Kashmir sebelum ini sangat mengejutkan dunia Islam khususnya.

“Memang kita khuatir kerana kita jual banyak minyak kelapa sawit kepada India. Tetapi kita harus bersikap jujur. Jika ada perkara yang tidak kena, kita harus menyuarakannya.

“Jika kita terus membiarkan perkara yang salah berterusan, dan ia mungkin melibatkan wang, saya rasa jika bukan kita yang melakukan kesalahan, ia akan dibuat oleh pihak yang lain.”

Itu penegasan Tun Mahathir pada sidang media selepas menghadiri Forum Integriti Bank Rakyat 2020, Januari lalu.

Pas India sawit Pakatan Harapan 

Pas yang diterajui Hadi Awang sedar atau tidak, masalah diskriminasi agama dialami umat Islam di India?

Menyedari risiko bantahan Malaysia itu terhadap eksport minyak kelapa sawit Malaysia ke India, Mahathir berkata, kerajaan akan cuba mencari jalan penyelesaian bagi memastikan India terus membeli minyak kelapa sawit dari negara ini.

Walau bagaimanapun, Malaysia ketika era PH tetap tegas bersuara mengenai kepentingan umat Islam dan tidak pernah berganjak sedikit pun.

“Kita akan cuba cari jalan penyelesaian. Tetapi faktanya ialah, apa yang berlaku di India hari ini mengakibatkan rasa tidak gembira dalam kalangan rakyat mereka sendiri.

“Malah, seluruh dunia juga merasakan diskriminasi itu tidak patut,” ujar Dr Mahathir lagi.

Ternyata, antara kesannya ialah kejatuhan harga minyak sawit. Orang kampung bising, PH naik harga sawit jatuh.

Sebagai alternatif, Tun Mahathir pada Februari 2020 telah berbincang panjang dengan Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan tentang eksport minyak sawit Malaysia ke Pakistan dalam pertemuan dua hala Malaysia – Pakistan. Ternyata Pakistan bersedia untuk mengimport lebih banyak minyak sawit bertapis dari Malaysia.

“Kami mendapati bahawa India mengugut Malaysia kerana menyokong Kashmir. India mengugut untuk mengurangkan import minyak sawit.

“Pakistan akan berusaha sebaik mungkin untuk menanggung kerugian ini,” kata Imran Khan selepas perjumpaan bersama Tun Mahathir ketika itu.

Tahun 2019, Pakistan mengimport sebanyak 1.1 juta tan minyak sawit Malaysia.

Selepas pertukaran kerajaan, Presiden MCA, Wee Ka Siong segera menggesa kerajaan India mempertimbang semula keputusannya untuk memboikot import minyak sawit dari Malaysia selaras dengan pembentukan kerajaan baharu di Malaysia.

Dalam kenyataan pertamanya selepas Mahiaddin Yassin dilantik sebagai perdana menteri Malaysia kelapan, Wee berkata sebarang salah faham yang lalu dengan kerajaan India perlu diselesaikan.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menghantar mesej kepada kerajaan India. Keadaan telah berubah di negara kami.

“India perlu menimbang semula keputusannya untuk memboikot import minyak sawit dari Malaysia,” ujar Wee ketika itu sebagaimana dilaporkan media.

Gesaan Wee ini mendapat sambutan baik dari Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi ketika itu, Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Sejak hari pertama masuk pejabat, Khairuddin menyatakan bahawa beliau komited untuk membina hubungan Malaysia dengan India, khususnya bagi eksport minyak sawit.

Selepas kejatuhan kerajaan PH, kerajaan Malaysia kembali kepada India semula untuk pasaran minyak sawit ini. Dan harga sawit pada hari ini sudah menunjukkan peningkatan semula.

Soalnya, adakah sekarang Malaysia sudah menarik balik bantahan yang dibuat kerajaan PH sebelum ini terhadap tindakan kontroversi India terhadap kawasan majoriti Muslim Kashmir dan pindaaan undang-undang kerakyatan yang jelas mendiskriminasi umat Islam?

Apa pula sikap kita terhadap saudara Muslim kita di India yang hendak masuk sekolah pun sukar Lebih teruk lagi, para guru turut dilarang memakai menutup aurat.

Pas ada dalam kerajaan? Tak tahulah Pas sedar atau tidak isu ini.

*HISHAM FAUZI merupakan bekas Pegawai Khas Menteri Di JPM (Agama) Dr Mujahid Yusof.

Tiada ulasan: