FMT Reporters
Rakaman video berdurasi 29 saat yang tular di Facebook semalam.
PETALING JAYA: Polis menyiasat dakwaan Seorang pengguna Facebook yang membuat naik satu video berhubung SOP kemasukan ke masjid melibatkan anggotanya.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Abd Khalid Othman berkata pemilik pengguna Facebook itu telah memuatnaik video berdurasi 29 saat dengan kapsyen “Masuk Masjid Macam Pengganas Besar” yang menimbulkan ketakutan dan kegentaran.
“Semalam, jam 3 petang telah tular sebuah video dimuatnaik oleh seorang pemilik akaun media sosial Facebook dengan nama Muhammad Faiz Ashrafy memaparkan seorang anggota polis berpangkat Koperal menerangkan berkaitan SOP terbaru bagi Selangor iaitu jemaah yang ingin menunaikan solat Jumaat perlu lengkap dua dos suntikan vaksin berserta dos penggalak sebelum dibenarkan masuk.
“Pemilik akaun tersebut telah memuatnaik video itu dengan kapsyen “Masuk Masjid Macam Pengganas Besar. Allah” dan telah meraih sebanyak 64 ribu kali tontonan dan 1300 perkongsian di laman sosial Facebook,” katanya dalam kenyataan.
Khalid berkata hasil semakan yang dibuat, kejadian tersebut berlaku pada semalam di Masjid Batu 14 Puchong.
Katanya anggota berpangkat koperal tersebut sedang menjalankan tugas rutin pemantauan solat Jumaat dan SOP di kawasan pentadbiran Balai Polis Bukit Puchong.
“Satu laporan telah dibuat bersabit video tular tersebut dan siasatan telah dijalankan di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 AKMM iaitu menyiarkan hantaran menyebabkan ketakutan dan kegentaran awam melalui kemudahan rangkaian telekomunikasi.
“Pihak polis amat mengalu-alukan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkan kepada pihak polis melalui nombor telefon 03-78627100 (Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya) untuk tindakan lanjut. Segala identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan