Nor Fazlina Abdul Rahim
Kota Bharu: Wanita ditemukan mati dalam keadaan leher terputus dipercayai ditetak oleh anak tirinya dengan menggunakan parang di Kampung Dalam Senduk, Jerek di Gua Musang, petang hari ini.
Mayat mangsa berusia 54 tahun ditemukan di ruang tamu rumahnya dan dipercayai dibunuh pada 4.55 petang.
Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Sik Choon Foo berkata, suspek berusia 39 tahun yang juga pesakit mental selain penagih dadah itu tampil ke balai polis menyerah diri selepas kejadian terbabit.
"Suspek hadir di Balai Polis Bertam sebelum memaklumkan dia sudah membunuh ibu tirinya di rumahnya menggunakan parang.
"Pemeriksaan di lokasi kejadian kemudiannya ditemukan seorang wanita dalam keadaan berlumuran darah dengan leher terputus akibat tetakan.
"Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut dan pihak polis turut merampas parang yang dipercayai yang digunakan suspek di lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, mangsa dibawa ke Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Kita masih menyiasat punca kejadian sama ada berlaku pergaduhan atau sebaliknya," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan