"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Zaharin Mohd Yassin: ‘Jika calon Umno ‘budak itu’, maaflah, saya harap Maszlee menang’, kata veteran Umno

SURI LAILA

Pemerhati dan penulis politik pro Umno, Datuk Zaharin Mohd Yassin berkata, beliau lebih rela melihat Dr Maszlee Malik memenangi kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang berbanding calon Umno yang akan dipertandingkan.

Tanpa menyebut siapakah calon Umno yang dinamakan, Zaharin berkata, jika calon tersebut adalah ‘budak itu’, beliau berharap agar Maszlee yang juga bekas menteri pendidikan sewaktu Pakatan Harapan memenangi kerusi tersebut.

Dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, kerusi DUN Layang-Layang dimenangi calon Barisan Nasional (BN) iaitu Datuk Onn Hafiz Ghazi yang merupakan cicit Datuk Onn Jaafar dan anak saudara Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang berjaya mengatasi pencabar lain dengan kelebihan 364 undi.

Dilaporkan, Umno akan mengetengahkan muka-muka baharu dalam PRN Johor kali ini.

“Saya masih orang Umno. Jika calon Umno di Layang-Layang budak itu, maaflah. Saya harap Dr Mazlee Malik akan menang. Saya bukan sokong PKR.

“Saya tidak sokong budak itu sampai ke hujung dunia. Saya lihat budak ini seorang yang sombong walaupun pencacai dan dedak ‘trooper’ kata dia YB yang terbaik,” katanya yang juga bekas Setiausaha Umno Bahagian Bandar Tun Razak dalam hantaran di Facebook semalam.

Pada semalam, Pakatan Harapan (PH) mengumumkan Ahli Parlimen Simpang Renggam yang baru menyertai PKR, sebagai calon PH di DUN Layang-Layang.

Nama beliau diumumkan pada Majlis Pengumuman Calon PKR PRN Johor Zon Tengah di Rengit dekat oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sementara itu, Ketua Wanita PKR Johor, Napsiah Khamis Maharan, 42, diumumkan bertanding DUN Kempas, manakala Setiausaha Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Fakhruddin Moslim, 34, selaku muka baharu diletakkan sebagai calon DUN Pasir Raja.

Arthur Chiong Sen Sern, 32, pula dipertaruhkan di DUN Bukit Batu dan Dr Zamil Najwah Arbain, 48, yang pernah bertanding di DUN Tanjung Surat pada Pilihan Raya Umum-14 (PRU-14) lalu ditampilkan semula sebagai calon DUN Larkin.

Manakala penyandang kerusi DUN Tiram, S Gopalakrishnan akan kekal mempertahankan kerusi berkenaan.

Tiada ulasan: