"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Memalukan': Bekas komando sokong Najib - Patriot

Malaysiakini

PRN JOHOR l Kumpulan veteran tentera, Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot), mengecam kehadiran beberapa veteran komando yang memakai beret hijau bagi menyokong bekas perdana menteri Najib Razak semasa kempen pilihan raya Johor di Simpang Renggam, Ahad lalu.

“Tidak ada yang lebih memalukan dan dan mematahkan semangat, (daripada) untuk melihat komando veteran dari pasukan khas elit negara berhimpun bersama seorang penjenayah yang telah didapati bersalah dan dilabelkan sebagai 'memalukan negara’ oleh pelbagai laporan media (dalam dan luar negara)," kata presidennya, Mohamed Arshad Raji.

Najib pada 28 Julai dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas kesalahan penyelewengan dana milik SRC International Sdn Bhd, anak syarikat 1MDB.

Mahkamah Rayuan pada 7 Dis tahun lalu mengekalkan keputusan mahkamah tinggi itu. Mahkamah juga menolak dakwaan Najib bahawa dia telah bertindak atas "kepentingan negara", sebaliknya memanggilnya sebagai "sesuatu yang memalukan negara". 

Mohamed Arshad Raji, Presiden Patriot

Arshad berkata sebagai veteran pasukan keselamatan negara elit yang terlatih dan berdisiplin tinggi untuk mempertahankan negara, veteran komando sepatutnya mesti memegang teguh kepada prinsip tersebut.

"Patriot tidak mempunyai isu jika kumpulan veteran menyertai kempen politik kerana kita adalah negara demokrasi.

“Malah, walaupun kita mungkin pesara tentera atau bekas tentera, kita boleh dan mesti memainkan peranan yang membina sebagai rakyat yang bertanggungjawab dalam membentuk masa depan politik negara yang lebih baik dan kestabilannya.

"Tetapi untuk dilihat berpakaian yang boleh dikaitkan dengan Angkatan Tentera di litar kempen politik sebegitu - dan lebih-lebih lagi apabila bersama individu yang telah disabitkan kesalahan di mahkamah bukan sahaja tidak wajar dan tidak menyenangkan tetapi secara kritikal melanggar jawatan dan status terhormat Angkatan Tentera," katanya.

Najib, semasa lawatan ke Laman Simpang Renggam Ahad lalu disambut oleh jumlah hadirin yang besar, termasuk mereka yang memakai warna biru BN.

Sebahagian daripada mereka termasuk sekumpulan kecil lelaki beret hijau yang menghampiri Najib dan bersamanya.

Najib, yang adalah pengerusi lembaga penasihat BN, sering turun berkempen pada pilihan raya Johor, dan meletakkan dirinya sebagai pemimpin yang kekal popular walaupun telah didapati bersalah atas tuduhan rasuah.

Dia sedang merayu sabitan kesalahannya di Mahkamah Persekutuan.

Kempen untuk pilihan raya Johor bermula pada 26 Feb. Rakyat Johor akan mengundi pada Sabtu, 12 Mac ini.

Tiada ulasan: