"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ada nenek hilang RM1 juta, ramai tertipu panggilan LHDN dan polis, ini 5 kes mangsa Macau Scam

FAZLI RADZI

Ada nenek yang terpaksa berputih mata apabila hilang RM1 juta ditipu sindiket Macau Scam. Bahkan, surirumah, guru dan doktor juga tidak terkecuali menjadi mangsa.

Orang ramai dinasihatkan agar jangan tertipu dengan panggilan telefon daripada mana-mana pihak kononnya sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), polis, mahkamah, wakil bank, Bank Negara Malaysia (BNM) dan lain-lain.

Itu semua hanya penipuan sindiket Macau Scam yang menyamar! Jangan terperdaya hingga terlalu mudah memberikan maklumat berkaitan kad bank dan perbankan dalam talian seperti yang diminta penjenayah.

Semak dan berhubung terus dengan pihak polis untuk kepastian bagi mengelak diperdaya oleh sindiket Macau Scam. Orang ramai perlu lebih berhati-hati bagi mengelak menjadi mangsa seterusnya.

Sebarang jenayah atau aktiviti mencurigakan, boleh hubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/0585, Pusat Respon Penipuan JSJK (03 2610 1559/1599), WhatsApp JSJK (013 2111 222) atau balai polis berdekatan, selain boleh layari pautan semakmule.rmp.gov.my,

Berikut lima kes mangsa yang terperdaya berserta modus operandi jahat penipu mengakibatkan puluhan ribu hingga jutaan ringgit lebur sekelip mata!

Kes 1

Seorang guru berusia lingkungan 30 tahun kerugian RM254,600 akibat terperdaya dengan penipuan sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai LHDN dan polis.

Ketua Polis Daerah Sipitang, Deputi Superintendan Champin Piuh, hari ini berkata mangsa sebelum itu menerima panggilan telefon daripada seorang individu mengaku sebagai pegawai LHDN pada 14 Mac lalu.

Guru itu terkejut apabila diberitahu kononnya ada tunggakan cukai berjumlah RM38,500.90 oleh sebuah syarikat yang didaftar menggunakan namanya.

Panggilan kemudian disambungkan pula kononnya kepada seorang sarjan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Dalam perbualan itu, mangsa dimaklumkan kononnya terdapat satu akaun bank atas namanya yang berkaitan dana haram sebanyak RM312,000.

Mangsa kemudian diminta menyerahkan maklumat akaun banknya yang didakwa untuk tujuan penyiasatan.

Malah antara 14 hingga 26 Mac lalu, mangsa diarah memindahkan wang ke dalam enam akaun bank yang berbeza.

Mangsa hanya menyedari tertipu pada 30 Mac lalu dan terus tampil ke balai polis untuk membuat laporan.

Laporan juga dibuat berikutan mangsa takut semua dokumen peribadi dan identitinya akan disalahgunakan.

Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Kes 2

Seorang doktor wanita berusia 31 tahun kerugian RM63,950 selepas ditipu sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai LHDN.

Doktor yang bekerja di hospital Kota Marudu itu mendakwa menerima panggilan daripada seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai LHDN jam 1.50 tengah hari, 5 Mac 2022.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Zairolnizal Ishak, berkata suspek mendakwa nama dan MyKad mangsa digunakan oleh sebuah syarikat dan mempunyai cukai tertunggak selama 15 bulan berjumlah RM228,000.

Panggilan kemudian disambung kononnya kepada ‘Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka’ dan suspek kononnya mendakwa mangsa terbabit dengan kes pengubahan wang haram serta penyeludupan dadah.

Selepas itu, mangsa dikehendaki memberi maklumat kad bank dan perbankan dalam talian kononnya bertujuan mengenal pasti sama ada mangsa terbabit dengan masalah penggubahan wang haram.

Mangsa kemudian memberikan butiran beberapa akaun bank miliknya.

Pada jam 5.30 petang hari sama, mangsa mengesyaki dirinya tertipu dengan sindiket Macau Scam.

Mangsa kemudian membuat semakan semua akaun bank miliknya dan mendapati wangnya sebanyak RM63,950 dalam akaun banknya hilang.

Menyedari tertipu, mangsa kemudian membuat laporan polis dan siasatan sehingga laporan 6 Mac lalu masih dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Kes 3

Seorang pesara doktor kerajaan lelaki berusia 83 tahun kerugian RM200,000 selepas ditipu sindiket Macau Scam menyamar wakil bank dan BNM.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mahidisham Ishak, berkata mangsa mendakwa dihubungi individu memperkenalkan diri sebagai wakil bank, pada 25 Februari lalu.

Suspek mendakwa nama mangsa digunakan untuk pendaftaran kad kredit platinum master walaupun urusan itu tidak wujud.

Susulan itu, panggilan mangsa disambungkan kepada ‘BNM’ dan dimaklumkan satu laporan polis dibuat kerana namanya disalahguna dan akan membantu bagi membatalkan kad kredit itu.

Mangsa juga menerima satu salinan laporan polis menerusi aplikasi WhatsApp. Lelaki berkenaan diminta menyerahkan ‘user id’ (identifikasi pengguna), kata laluan perbankan dalam talian dan nombor OTP (kata laluan sekali).

Suspek kemudian mengarahkan mangsa supaya memadankan mesej OTP diterima. Selepas urusan transaksi itu, mangsa menghubungi pusat khidmat pelanggan bank tersebut untuk semakan dan mendapati terdapat 14 transaksi pengeluaran dibuat daripada akaun mangsa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Kes 4

Seorang nenek kerugian RM1 juta selepas ditipu sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai sebuah syarikat telekomunikasi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Ishak, berkata mangsa yang juga suri rumah berusia 67 tahun menerima panggilan daripada individu mengaku pegawai Telekom Malaysia (TM) pada 15 Januari lalu.

Suspek mendakwa, maklumat peribadi mangsa digunakan pihak lain untuk pendaftaran talian TM dan mempunyai tunggakan baki bayaran.

Panggilan itu kemudiannya disambungkan pula kepada seorang ‘pegawai polis’ dan dalam perbualan itu, mangsa dimaklumkan namanya terbabit jenayah narkotik dan pengubahan wang haram.

Mangsa yang menjalankan perniagaan rumah sewa diarah memindahkan semua wang simpanannya berjumlah RM1 juta ke dalam tujuh akaun bank berasingan kononnya untuk tujuan siasatan.

Sebaik selesai membuat pemindahan wang, mangsa cuba menghubungi semula ‘pegawai polis’ itu, namun gagal.

Menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan, wanita itu membuat laporan di Balai Polis Tun H S Lee dan siasatan dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Kes 5

Seorang suri rumah berusia 41 tahun kerugian RM33,800 selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan mata wang digital tidak wujud.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Ishak, berkata pada 10 Disember 2021 mangsa melayari media sosial dan melihat iklan menawarkan pelaburan mata wang digital dengan keuntungan 400 peratus daripada jumlah modal dalam tempoh sebulan.

Mangsa kemudian dijemput masuk ke dalam platform Telegram dan diberi pautan ke sebuah laman web yang menerangkan mengenai pendaftaran dan pelaburan mata wang digital itu.

Selepas mendaftar, mangsa kemudian diberikan satu akaun e-wallet bagi memantau pelaburannya.

Antara tempoh 28 hingga 30 Disember 2021, mangsa membuat tujuh transaksi pelaburan berjumlah RM33,800 ke dua akaun bank yang diberikan.

Pada 15 Januari lalu, mangsa membuat semakan akaun e-wallet miliknya dan mendapati keuntungan RM147,114, tetapi wang itu tidak dapat dikeluarkan.

Mangsa kemudian menghubungi pihak khidmat pelanggan pelaburan itu dan diarah membuat bayaran RM29,423 terlebih dulu sebagai wang jaminan, sebelum wang dalam e-wallet itu dikeluarkan.

Mangsa yang berasakan dirinya tertipu tampil membuat laporan polis. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Tiada ulasan: