"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Saintis muslim kemuka 7 hujah tepis dakwaan bina menara setinggi 15 km

AYHAN FERHAT

Sekumpulan saintis muslim mengemukakan 7 hujah bagi menepis dakwaan seorang penceramah berkenaan pembinaan sebuah menara setinggi 15 km (10 batu) ketika zaman Firaun.

Baru-baru ini tular sebuah video seorang penceramah yang dikenali dengan nama Ustaz Wadi Annuar yang disiarkan oleh saluran Youtube Al-Kahfi Production pada Oktober 2021 namun telah mencetuskan perdebatan dalam kalangan pengguna media sosial tentang logik binaan menara setinggi 15 km yang mana ia melebihi ketinggian gunung Everest.

Sehubungan itu, sebuah page Facebook yang dikenali Ini Sains Beb tampil menepis dakwaan tersebut dengan menyenaraikan tujuh hujah yang disepakati oleh pakar dalam bidang sains.

Berikut adalah 7 hujah saintis muslim;

Kami terserempak dengan satu dakwaan seseorang yang mengatakan Firaun pernah membina sebuah Menara setinggi 15 km (10 batu). Terkejut dengan dakwaan itu, sebagai saintis Muslim kami segera merujuk kepada rakan-rakan yang fasih. Rata-rata mereka menolak dakwaan tersebut serta berkongsi sumber-sumber tafsir yang menguatkan pendirian mereka. Kami pun lega dan bersetuju.

Tapi kami ingin menyentuh isu ini melalui perspektif sains. Adakah mungkin binaan setinggi itu dibina 3000-4000 tahun lepas tanpa bantuan teknologi moden? Kami kongsikan 7 hujah yang meragui kemungkinan tersebut:

1.Udara terlalu nipis pada ketinggian 15km

Secara umumnya, pada ketinggian 2.1km, manusia akan mengalami kesukaran bernafas kerana udara semakin nipis. Kerana itulah pendaki gunung biasanya memerlukan alat bantuan pernafasan pada altitud tinggi. Pada ketinggian 8km, tubuh manusia tidak lagi boleh berfungsi tanpa oksigen yang cukup. Ketinggian ini dikenali sebagai Death Zone oleh para pendaki gunung.

Untuk perbandingan, ketinggian Gunung Everest adalah 8.8km dari aras laut.

Untuk membina menara setinggi 15km itu, semestinya mereka akan memerlukan alat untuk membolehkan mereka bernafas. Teknologi itu masih belum wujud lagi, kerana sekiranya ada, pasti ada rekod penggunaannya, sekurang-kurangnya dalam bentuk lukisan, syair atau kisah-kisah turun termurun. Ini kerana sekiranya manusia mempunyai alat bantuan pernafasan di zaman itu, sudah pasti mereka akan meneroka ke dasar laut juga!

2.Keadaan atmosfera yang melampau

Pada altitud tinggi, atmosfera bumi tidak lagi sesopan seperti di aras laut. Pada ketinggian 10 km, kelajuan angin adalah selaju 20-25 m/s (72-90 km/j)! Cuba bawa kereta dan buka tingkap pada kelajuan tersebut dan bayangkan apa yang berlaku. Kalaupun anda boleh bekerja membina menara tanpa terbang ditiup angin, anda akan mengalami kesukaran bercakap kerana bunyi angin yang terlalu kuat.

Ini ditambah lagi dengan suhu yang dianggarkan -56.5 darjah Celsius, pekerja perlu memakai pakaian panas sambil bekerja di atas permukaan yang licin akibat lapisan ais (frost). Macam mana nak kerja tu?

3.Kemampuan kudrat manusia

Pernah panjat tangga bawa barangan runcit naik ke tingkat 10? Kalau satu tingkat setinggi 4 meter, menara ini adalah setinggi 3,750 tingkat. Bayangkan memanjat lebih 93,000 anak tangga sambil membawa bahan binaan dan alat pertukangan. Pada kelajuan biasa, anda memerlukan 26 jam untuk mendaki menara tersebut tanpa berhenti rehat!

4.Teknologi bahan binaan yang masih kuno

Berdasarkan teknologi yang sedia ada di zaman itu, mereka akan menggunakan bata tanah liat (clay brick) beserta bitumen sebagai mortar. Pada skala bangunan domestik, tiada masalah. Tetapi untuk struktur super-masif ini, ia perlu dibina secara khusus. Ini kerana bata tanah liat ini lemah apabila berdepan dengan cuaca sejuk beku. Apabila ia menyerap lembapan dan lembapan itu membeku, ia akan menyebabkan dinding itu rapuh, retak dan roboh. Tidak ada bukti bahawa tamadun zaman itu sudah mempunyai pengetahuan untuk membina binaan kalis beku.

5.Rekabentuk menara yang terlalu besar

Bagi memastikan menara ini kukuh setinggi 15 km, maka tapaknya akan menjadi sangat lebar bagi menjamin kestabilan puncaknya yang tinggi. Ini bersandarkan kefahaman mereka membina piramid menggunakan bahan binaan pada zaman itu, yang mana semakin tinggi strukturnya, semakin lebar tapaknya.

Dan semestinya apabila ia semakin besar, lebih banyak bahan binaan diperlukan dan ini akan menjadikannya terlalu berat. Bagi menampung berat yang melampau ini, ia akan memerlukan asas yang besar, kukuh dan dalam bagi mengelakkan pergerakan (pengesotan, penyesaran atau pemendapan) tanah. Keadaan tanah adalah antara sekatan utama teknologi masa kini yang menyebabkan kita tak dapat membina bangunan melebih 1 km pada hari ini, apatah lagi 4,000 tahun yang lalu.

6.Tiada kesan peninggalan

Kalau menara dan asasnya pernah dibina, maka kita mesti boleh cari kesan peninggalannya. Para arkaeologis pasti akan dapat mencari kesan runtuhan struktur super-masif itu menggunakan pengimejan satelit, G.I.S (Sistem Geoinformasi) dan sebagainya. Para arkeologis sudahpun menemui runtuhan ziggurat Etemenanki yang kerap dikaitkan dengan mitos Menara Babel di selatan Iraq. Namun ahli akademik moden berpendapat berdasarkan struktur asas dan keadaan tanah, ziggurat itu tidak melebihi 70 meter tinggi. Jadi untuk struktur setinggi 15 km yang memerlukan tapak dan asas yang sangat besar, sudah tentu lebih mudah dicari.

7.Kos masa dan tenaga yang tidak munasabah

Katalah kos kewangan bukan isu besar bagi Firaun tersebut, tetapi kos masa dan tenaga juga perlu diambil kira. Piramid Giza setinggi 146m memerlukan 100,000 buruh untuk membinanya dan mengambil masa 20 tahun. Bekalan tenaga buruh ini perlu berterusan, kerana bukan semua 100% buruh itu akan dapat bertahan selama 20 tahun. Buruh yang mati perlu diganti. Mereka perlukan makan dan tempat tinggal selama 20 tahun tersebut.

Berapa lama mereka akan perlukan untuk membina menara 15 km tinggi? 20 tahun = 150m, maka 15,000m = 2,000 tahun!

Mungkin lebih efisien jika buruh-buruh itu terus tinggal di atas menara yang sedang dibina. Berpuluh-puluh generasi duduk di atas sana tak perlu turun ke bawah. Kalau begitu, bagaimana bekalan makanan mereka? Najis nak buang di mana? Siapa nak uruskan kebajikan pemerintah yang menyuruh buruh-buruh itu bekerja? Koordinasi kerja macam mana? Di mana nak cari bekalan tanah liat berjuta tan untuk digunakan sebagai bahan binaan? Bata tanah liat itu dibakar di mana? Dari mana nak dapat kayu api untuk membakar bata itu selama 2,000 tahun?

Saintis muslim kemuka 7 hujah tepis dakwaan bina menara setinggi 15km

Berapa generasi Firaun perlu mewarisi tugas mengetuai pembinaannya sebelum dapat merasa duduk di atas menara 15 km tinggi tu agaknya?

Jadi berdasarkan 7 hujah di atas, kami berpendapat bahawa peradaban manusia masih belum mempunyai kemampuan untuk membina struktur setinggi 15 km. Sebagai perbandingan, penerbangan komersial terbang setinggi 9 hingga 11km, dan bangunan tertinggi di dunia setakat ini, Burj Khalifa, hanyalah 0.83km sahaja sementara yang kedua tertinggi, Menara PNB118 setinggi 0.64km.

Cuma perlu diingat, ini adalah pandangan dari sudut sains dan pembuktiannya. Kami tidak mengulas tentang mukjizat, sihir, ilmu ghaib dan fenomena magik.

Rujukan: George, A. (2007) “The Tower of Babel: Archaeology, history and cuneiform texts” Archiv für Orientforschung, 51

Pickthal, M. (1996) “Quran” (in English), Suras 28:36 and 40:36–37. Amana Publishers

Darack (2002). Wild winds: adventures in the highest Andes. p. 153. ISBN 978-1-884980-81-7.

Tiada ulasan: