"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jawi siasat video wanita hina Islam

Mahaizura Abd Malik

mahaizura@hmetro.com.my

TANGKAP layar rakaman video tular di media sosial

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sedang menyiasat video tular seorang wanita dipercayai menghina kesucian agama Islam yang berlaku di sebuah kelab di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), di sini, baru-baru ini.

Pengarahnya Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, pihaknya mengambil maklum perkara berkenaan dan memandang serius isu terbabit.

"Siasatan awal dilaksanakan Bahagian Penguatkuasaan Jawi dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 7 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559) iaitu menghina atau menyebabkan dipandang hina agama Islam dengan denda tidak lebih RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

"Jawi sama sekali tidak akan berkompromi dengan sebarang perbuatan bertujuan menghina dan mencemarkan imej serta kesucian Islam khususnya yang berlaku di Wilayah Persekutuan lebih-lebih lagi menjelang ketibaan Hari Raya Aidiladha yang mulia," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, tular video berdurasi 54 saat menunjukkan seorang wanita tampil berpakaian sopan dalam satu majlis di sebuah kelab di TTDI, di sini.

Dalam video berkenaan, wanita itu mendakwa dirinya beragama Islam serta menghafal 15 juzuk al-Quran sebelum secara tiba-tiba dia menanggalkan baju kurung serta tudungnya hingga mendedahkan auratnya.

Sementara itu, Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad berkata, jika benar wanita berkenaan beragama Islam, perbuatannya bukan sahaja menghina agama dan umat Islam lain, malah menghina dirinya sendiri.

"Barangkali dia mungkin hendak menghina umat Islam lain, tetapi dia tidak sedar perbuatan itu sebenarnya menghina dirinya sendiri.

"Orang macam ini dia munafik, sama sama hukumnya macam orang yang melakukan dosa besar dan perlu bertaubat," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Pendapat sama turut disuarakan pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung menerusi hantaran di Facebook miliknya, hari ini.

"Setelah Islam memuliakan dirinya dengan berpakaian sopan dan menutup aurat, dia menghina dirinya dengan menanggalkan di khalayak ramai.

"Jika benar dia 'claim' (dakwa) sudah menghafal 15 juzuk al-Quran dan melakukan perbuatan seperti itu, dia menghina dirinya kerana Allah memuliakan orang yang menghafal al-Quran, memahami dan mengamalkannya tetapi mungkin dia hanya hafal tanpa pemahaman dan pengamalan.

"Islam datang memuliakan kita. Barangsiapa mencari kemuliaan di luar Islam, maka kita akan dihina sekali lagi," katanya.

Tiada ulasan: