"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Suami isteri maut dibunuh, polis buru adik lelaki

FMT Reporters

PETALING JAYA: Polis memburu suspek yang merupakan adik kepada lelaki ditemui maut bersama isteri dipercayai dibunuh di kediaman mereka di Taman Bercham Aman, Ipoh, Perak.

Ketua Polis Ipoh, Yahaya Hassan, berkata abang mangsa lelaki hadir di Balai Polis Bercham pada 8.50 pagi tadi memaklumkan penemuan mayat kedua-dua mangsa.

Mangsa, Ng Chun Hon, 64 dan isterinya Ooi Tin Lu, 59, ditemukan meninggal dunia dalam keadaan berlumuran darah.

“Setibanya pasukan polis bersama paramedik dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) mendapati dua mangsa lelaki dan wanita tidak sedarkan diri dan berlumuran darah.

“Kedua-dua mangsa ditemukan berdekatan ruang tamu dengan lelaki dalam keadaan tertiarap manakala wanita tersandar pada dinding yang disahkan sudah meninggal dunia,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata, siasatan mendapati kedua-dua mangsa maut akibat parah pada bahagian kepala kerana senjata tajam dan objek tumpul.

“Polis masih menjalankan siasatan punca kematian, kita mempercayai mangsa meninggal dunia malam tadi. Sehingga kini kita masih belum menemui senjata  digunakan suspek.

“Kes disiasat sebagai bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman mandatori,” katanya memaklumkan mangsa lelaki seorang mekanik dan isterinya suri rumah.

Sehubungan itu, suspek, Ng Chun Ming, 61 yang kini sedang diburu dilaporkan menghilangkan diri bersama kenderaan jenis Proton Saga milik mangsa wanita.

“Kita berharap orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek berhubung terus dengan balai polis berhampiran untuk membantu siasatan,” katanya.

Katanya, siasatan mendapati suspek tidak bekerja mempunyai rekod jenayah lampau bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan mendatangkan cedera parah.

Menurutnya, ibu mangsa lelaki berusia 90 tahun yang uzur dan berkerusi roda yang tinggal bersama turut berada di rumah ketika pembunuhan itu berlaku.

“Siasatan mendapati ada terdengar bunyi pergaduhan tetapi setakat ini tidak ada sesiapa melaporkan berkenaan perkara terbabit kepada polis. Bedah siasat akan dijalankan dan kita masih lagi menyiasat motif kes pembunuhan ini,” katanya.

Tiada ulasan: