FMT Reporters
PETALING JAYA: Tengku Razaleigh Hamzah, memberi ingatan kepada kerajaan segera mengawal kedudukan tukaran asing atau berdepan situasi rakyat terpaksa “sewa beca untuk membawa duit”, jika ringgit terus merudum serta jatuh secara tidak terkawal.
Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, kawalan tukaran asing membabitkan ringgit perlu dibentangkan dalam Bajet 2023 bagi menangani kos sara hidup rakyat.
Beliau berkata, kadar tukaran asing negara berada pada kedudukan “free fall” sehingga menimbulkan kegusaran.
“Kerana tukaran asing kita sudah jatuh dengan tidak terkawal, atau dalam bahasa Inggeris ‘free fall’, kalau free fall sejauh mana ringgit kita nak jatuh? Adakah ringgit kita ni nak jadi macam duit kertas zaman Jepun, nak ke pasar terpaksa sewa beca untuk bawa duit?” katanya menurut Astro Awani.
Tengku Razaleigh atau Ku Li yang pernah menjadi menteri kewangan bermula 1976 hingga 1984 mendakwa, daya produktiviti pengeluaran dalam negara juga jatuh.
“Sekarang kita nak import saja, tak nak buat sendiri…apa benda yang kita boleh buat sendiri, kita masih nak import. Kita tak nak buat sendiri.
“Zaman kita apabila kita merdeka dahulu, zaman Tan Sri Khir Johari menjadi menteri perdagangan dan Tengku dan Tun Razak mengepalainya menekan supaya kita cuba buat segala-gala barang yang kita mampu buat. Dan hentikan pengimportan. Maka kita dapat melawan kenaikan harga barang di luar negara,” katanya.
Menyentuh kenaikan kadar dasar semalaman (OPR), beliau menjelaskan, OPR menjadi alat yang Bank Negara (BNM) gunakan untuk mengawal jumlah wang yang ada.
“Saya harap kerajaan cuba kawal kejatuhan ringgit ini, kerana tukaran asing kita sudah jatuh dengan tidak terkawal. Tidak mampu untuk membayar apa yang kita nak.
“Sejauh mana ringgit ini akan jatuh? Apakah ringgit kita akan jadi, kalau kita izinkan ringgit kita jatuh? Mungkin rumah yang kita beli dengan harga ratusan ribu boleh turun kepada sepuluh ribu ringgit. Jadi tidak ada sebab mengapa kita perlu biarkan perkara ni berterusan berlaku,” katanya.
Pada 27 Mei, Tengku Razaleigh meramalkan penyusutan ringgit kepada RM5.50 berbanding USD1 menjelang akhir tahun.
Hari ini, ringgit berada pada kadar RM4.54 berbanding USD1, paras terendah dalam tempoh 24 tahun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan