FMT Reporters
PETALING JAYA: Ismail Sabri Yaakob, Muhyiddin Yassin dan Anwar Ibrahim adalah tiga pemimpin yang dilihat mempunyai ketokohan, kualiti, karisma dan daya tahan untuk memimpin negara, kata bekas timbalan perdana menteri Musa Hitam.
Musa berkata, ketika-tiga pemimpin itu dilihat mampu menerajui negara dan mengharungi cabaran masa kini.
“Dalam keadaan dunia yang mencabar sekarang ini, negara kita, sangat-sangat memerlukan kepimpinan taraf dunia.
“Pada masa kini, negara kita sangat kekurangan pemimpin yang mampu berdepan dengan pelbagai cabaran dunia kini. Malaysia sangat perlu pemimpin berkualiti, berpengalaman dan tabah berani dalam menghadapi apa jua cabaran yang datang.
“Waktu sekarang nampaknya memang kita alami kekurangan pemimpin yang boleh dikatakan ‘top class’. Saya nak buat satu analisa. Pemimpin pilihan peribadi saya yang saya lihat mampu memimpin negara dalam keadaan mencabar ini ada tiga nama iaitu Ismail Sabri, Muhyiddin dan Anwar.
“Pokoknya, mereka ini berkebolehan memimpin negara dalam keadaan sekarang yang penuh kecelaruan,” katanya lapor Harian Metro.
Beliau berkata demikian Program Bicara Tokoh : Kecelaruan Politik Malaysia anjuran Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Johor, di Kota Tinggi, Johor, hari ini.
Dalam pada itu, Musa yang juga bekas timbalan presiden Umno, turut menamakan Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, sebagai pemimpin muda berpotensi.
Katanya, beliau tertarik kepada Muda dan ideologi Syed Saddiq.
“Saya berpeluang bercakap dengan dia (Syed Saddiq). Dia ada idea bagus, ini pandangan saya tanpa prejudis dan tidak berpihak. Saya lihat dia ada keterujaan dan idealisme tersendiri.
“Orang di luar memang berkata macam-macam mengenai dia. Namun pada saya dia mewakili golongan pemimpin masa depan.
“Dia juga ada pengikut ramai. Untuk dia menang kerusi atau mendapat dua tiga kerusi menerusi Muda bukan satu masalah,” katanya.
Dalam pada itu, Musa menyifatkan kecelaruan politik yang dialami negara masa kini, diibaratkan seperti ‘politik kartun’.
“Saya nak cakap juga terus terang, tiap-tiap kali saya hadapi kritikan (daripada orang luar), berikutan keadaan politik dalam negara yang bercelaru, mereka cakap keadaannya seperti ‘politik kartun’.
“Keadaan politik negara macam hiburan pula jadinya dengan kita (ahli politik) diketawakan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan