BATAM: Polis menemukan mayat dua adik beradik di sebuah hotel di Kepulauan Riau yang dipercayai membunuh diri akibat malu selepas diisytiharkan muflis.
Lapor Kompas.com, mayat dua wanita itu ditemukan di dalam bilik hotel di Batam Ahad lalu oleh seorang tukang cuci yang masuk untuk membersihkan bilik tersebut.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Lubuk Baja, Yudi Arvian berdasarkan siasatan awal dan keterangan beberapa saksi termasuk ahli keluarga mangsa.
“Tukang cuci itu menemui mayat si adik dalam keadaan tergantung di dalam tandas hotel sementara mayat kakaknya berada di atas katil dengan luka di bahagian leher dan pergelangan tangan,” jelasnya.
Menurut Yudi, sebelum merantau ke Batam, dua wanita berusia 47 dan 49 tahun itu diberi modal berupa emas ibu bapa mereka untuk memulakan perniagaan di bandar berkenaan.
Namun, perniagaan itu tidak lama kemudian diisytihar muflis dan modal yang disediakan orang tua mereka turut lesap.
Yudi berkata, masalah itu dipercayai menyebabkan kedua-duanya berasa malu untuk pulang ke kampung halaman di Jambi, sebaliknya memilih menamatkan nyawa mereka.
“Mereka lima beradik, ibu bapa mereka juga terkejut dan sedih kenapa harus membunuh diri.
Walau malu sekali pun, tidak perlu membunuh diri. Apa pun terjadi setiap ibu bapa pasti akan terima dan tetap sayangkan mereka,” kata Yudi.
Mayat kedua-dua mangsa sudah dituntut oleh keluarga mereka dan disemadikan di rumah pengebumian Sambau di Nongsa.
-utusanonline
Tiada ulasan:
Catat Ulasan