"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Panggilan video selamatkan kru dirompak di pelantar minyak

FMT Reporters

EMPAT  suspek warga tempatan yang ditahan ketika melakukan rompakan dalam Ops Pagar Laut. FOTO Omar Ahmad
Suspek 

PETALING JAYA: Panggilan video isteri berjaya menyelamatkan suami dan rakannya dalam rompakan di sebuah pelantar minyak di Pelabuhan Tanjung Langsat, Kota Tinggi, semalam.

Pemangku Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Saiful Lizan Ibrahim, berkata empat warga tempatan berusia 27 hingga 47 tahun, termasuk dua beradik ditahan dan dipercayai menggunakan parang sebagai senjata dalam rompakan itu.

“Pada 10.30 malam 24 April lalu, Maritim Malaysia Johor menerima aduan mengenai rompakan di atas pelantar Aurora Producer 1 di kedudukan 0.7 batu nautika timur laut jeti Pelabuhan Tanjung Langsat.

“Ekoran itu, bot Perkasa 30 diarahkan ke lokasi serta tiba pada 12.30 tengah malam dan menemui sebuah bot gentian kaca bersama empat suspek di bawah pelantar terbabit dalam keadaan mencurigakan,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Beliau berkata, semua suspek itu pada mulanya berpura-pura menarik kabel logam, kemudian menenggelamkan bot dan berpaut pada tiang pelantar, sebelum terjun ke laut akibat keletihan.

Katanya, hasil pemeriksaan awal di pelantar itu menemui dua kru berusia 24 dan 32 tahun yang disyaki menjadi mangsa rompakan.

Beliau berkata, mangsa mendakwa pelantar yang sedang diselenggara itu dinaiki tiga lelaki bertopeng, bersenjata tajam yang menyerang, mengikat kaki, tangan dan mulut mereka sebelum dikurung dalam sebuah kabin.

Katanya, mangsa terkurung selama dua jam, sebelum berjaya meleraikan ikatan dan bersembunyi menunggu ketibaan pihak berkuasa.

“Ketika kejadian, salah seorang mangsa kebetulan sedang membuat panggilan video dengan isterinya sebelum isterinya menyedari sesuatu, selepas telefon bimbit suaminya itu dirampas secara tiba-tiba dan terus senyap.

“Bimbang keadaan suaminya, wanita itu terus menghubungi talian kecemasan 999 dan pihak kami terus membuat pengesahan dengan Lembaga Pelabuhan Johor dan mendapati memang terdapat pekerja di pelantar tersebut.

“Jumlah dan barang perkakasan pelantar yang disyaki dicuri masih dalam siasatan, termasuk nilai kerugian. Pihak kami juga menghantar penyelam untuk mendapatkan bukti di lokasi kejadian.”

Katanya, tiga daripada empat suspek itu mempunyai rekod jenayah lampau, termasuk memiliki senjata berbahaya dan dadah, dengan semuanya direman lima hari sehingga 29 April ini untuk disiasat mengikut Seksyen 391 Kanun Keseksaan.

Tiada ulasan: