"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Gempar: Ahli perniagaan dibunuh, disumbat dalam bagasi, dicampak dari cerun 27 meter

Ruwaida Md Zain
am@hmetro.com.my
LOKASI ahli perniagaan yang dibunuh dan dicampak ke cerun setinggi 27 meter. FOTO Ihsan Polis
LOKASI ahli perniagaan yang dibunuh dan dicampak ke cerun setinggi 27 meter. FOTO Ihsan Polis
Shah Alam: Seorang ahli perniagaan yang mati dibunuh ditemukan dengan keadaan tangan terikat dalam sebuah bagasi di cerun bukit pada ketinggian 27 meter di Hulu Langat, Khamis lalu.

Mangsa, seorang lelaki tempatan yang berusia lingkungan 40-an ditemui dalam keadaan lengkap berpakaian dengan kesan leher dijerut pengikat kabel.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, penemuan mangsa susulan tangkapan ke atas beberapa suspek selepas rakan serumah mangsa membuat laporan polis berhubung kehilangannya pada 26 April lalu.

"Kira-kira jam 6 petang (26 April), Polis Daerah Kajang menerima laporan daripada pengadu (rakan serumah mangsa), seorang lelaki berusia 36 tahun berhubung kehilangannya.

"Pengadu memberitahu, mangsa seorang ahli perniagaan yang mempunyai rangkaian klinik kesihatan persendirian menghilang diri, tidak dapat dikesan selepas bertemu seorang rakan perniagaan jam 11 pagi hari sama, di Semenyih.

"Menurut laporan pengadu, sebelum kehilangannya mangsa ada menghantar satu pesanan ringkas melalui telefon bimbitnya dan meminta pengadu memasukkan wang mangsa ke satu akaun syarikat yang tidak dikenali berjumlah RM228,000.

"Bagaimanapun pengadu yang curiga tidak memasukkan wang berkenaan sebagaimana diarahkan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.

Hussein berkata, sejurus selepas itu, telefon bimbit mangsa gagal dihubungi malah keluarga mangsa juga curiga dan bimbang keselamatannya.

"Susulan itu, pada 4 petang 27 April lalu, polis menangkap tiga lelaki dan dua perempuan warga tempatan berusia lingkungan 22 hingga 40 tahun sekitar Kajang dan Ampang.

"Suspek membawa polis ke lokasi penemuan mayat mangsa dan merampas beberapa barangan berkaitan kejadian seperti lima telefon bimbit termasuk milik mangsa, sebuah Perodua Axia milik suspek yang ditangkap.

"Kes yang pada mulanya disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan, diklasifikasikan semula kepada kes bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati motif kejadian adalah suspek mahu mendapatkan wang perniagaan milik mangsa bagi tujuan perundangan.

"Suspek utama (seorang kontraktor) mengakui terdesak kerana ada masalah kewangan, lalu mendapat idea melakukan pemerasan, bagaimanapun hanya RM20,000 sahaja wang mangsa dipindahkan," katanya.

Katanya, hasil pemeriksaan bedah siasat mendapati, punca kematian mangsa disebabkan kecederaan jerutan di leher menyebabkan saluran pernafasan tersekat.

"Siasatan juga mendapati, pembunuhan itu juga sudah dirancang berdasarkan persiapan yang dibuat oleh suspek.

"Dengan penemuan mayat mangsa, polis percaya siasatan kes itu selesai yang mana dua suspek yang ditangkap mengaku terbabit dalam pembunuhan mangsa sebelum dibuang di kawasan terpencil di Hulu Langat," katanya.

Tiada ulasan: