FMT Reporters
PETALING JAYA: Bekas ketua Umno Selangor Noh Omar menafikan beliau akan bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) pada PRN akan datang.
Noh berkata, isu berkaitan calon hanya akan diputuskan pimpinan parti dalam gabungan itu dan beliau juga belum menjadi ahli mana-mana parti.
“Saya ingin jelaskan bahawa untuk menjadi calon mana-mana parti hanya pimpinan parti yang akan menentukan siapakah yang layak menjadi calon.
“Oleh kerana sehingga hari ini saya belum lagi menjadi ahli mana-mana parti, maka adalah tidak betul kalau mengatakan saya akan menjadi calon dalam PRN yang akan datang,” katanya dalam video dimuat naik di media sosial.
Noh berkata demikian merujuk laporan beliau akan bertanding pada PRN Selangor atas tiket PN.
Pada 30 April lalu, Noh yang dipetik Berita Harian berkata sebagai individu yang “sebati” dengan politik, beliau enggan sekadar menjadi penonton.
Bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang itu menggambarkan dirinya seperti “pemain bola sepak” yang akan berpindah ke pasukan lain selepas disingkir pasukan asal.
Januari lalu, Noh disingkir daripada Umno selepas memohon dipecat berbanding hukuman asalnya iaitu penggantungan selama enam tahun.
Permintaan untuk dipecat dipersetujui Presiden Umno Zahid Hamidi.
Terdahulu, dilaporkan anak Noh, Nurul Syazwani akan bertanding merebut salah satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen Tanjong Karang atas tiket Bersatu.
Nurul kini ketua srikandi muda di Tanjong Karang, menyertai Bersatu selepas bapanya dipecat awal tahun ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan