Wai Tee
Semua berdebar-debar menunggu hari pelaksanaannya. Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu telah mengumumkan. Begitu juga semasa sesi soal jawab perdana menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, perdana menteri turut menyatakan yang harga ayam dan telur akan diapungkan.
Pengguna, pengeluar dan peniaga menanti dengan penuh debaran pengumuman dijangka dibuat pada 30 Okt ini. Apakah apungan harga ayam akan berkuat kuasa pada 1 Nov atau tarikh yang diumumkan?
Persoalan lebih utama bagi pengguna adalah apakah reaksi pasaran bila diapungkan? Apakah harga ayam akan menjadi lebih rendah atau lebih tinggi dari harga kawalan ketika ini iaitu RM9.40 sekilogram? Begitu juga dengan telur ayam gred A, B dan C? Apakah pengguna bersedia untuk menerima hakikat harga yang ditentukan oleh pasaran?
Apakah faktor utama mendorong kerajaan melaksanakan dasar yang tidak popular ini? Apakah masa ini sesuai? Apakah kedudukan fiskal negara merupakan pertimbangan utama? Apakah data digunakan untuk menyokong pengapungan harga ayam?
Yang pasti sistem penyampaian subsidi sedia ada iaitu subsidi pukal tidak mencapai objektifnya. Malah terdedah kepada ketirisan dan pembaziran. Pengapungan harga ayam ini merupakan salah satu usaha untuk mengatasi ketirisan dan memastikan dinikmati oleh golongan sasaran. Lebih-lebih lagi bila warga asing turut menikmati subsidi disalurkan melalui ayam dan telur. Kerajaan perpaduan dikira berani mengambil dasar tidak popular ini walaupun subsidi bersasar diperkatakan sejak 12 tahun lalu.
Ayam dan telur adalah makanan paling popular rakyat Malaysia. Ayam dan telur juga merupakan sumber protein termurah. Malaysia pula merupakan negara pengguna ayam tertinggi di Asia dan ketiga di dunia dengan penggunaan per kapita sebanyak 46.8kg setahun dan dijangka mencapai 50kg setahun menjelang 2025.
Harga ayam dikawal kerajaan sejak dua tahun lalu. Satu jangka masa agak lama. Harga kawalan terakhir ialah RM9.40 per kg bagi ayam bulat bersih standard.
Harga termurah di Asia. Di sebalik harga kawalan tersebut, kerajaan terpaksa mengeluarkan subsidi tinggi iaitu RM3.8 bilion bagi memastikan harga ayam bulat di tahap yang rendah dan mampu dibeli kebanyakan rakyat Malaysia.
Subsidi sebanyak 80 sen sekilogram itu diberi kepada penternak ayam di peringkat ladang yang diuruskan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan. Harga ayam ditentukan di pelbagai peringkat terdiri penternak, pemborong/pembekal dan peruncit. Ayam pedaging dewasa akan dijual oleh penternak kepada pemborong/pembekal yang kemudian menjual kepada peruncit sebelum dibeli pengguna. Setiap peringkat itu mempunyai margin keuntungan munasabah.
Sebanyak 70% kos pembesaran ayam yang mengambil masa antara 35 hingga 49 hari adalah makanan ternakan terdiri jagung, kacang soya dan vitamin. Makanan ternakan semuanya diimport. Kekurangan bekalan di pasaran dunia, kadar pertukaran asing dan kos pengangkutan mempengaruhi harga import makanan ternakan. Jika salah satu daripada komponen itu naik, maka harga makanan ternakan akan melonjakkan kos pembesaran ayam. 30% kos selebihnya adalah kos anak ayam (Day-of-chick), tenaga elektrik reban ayam dan tenaga buruh.
Salah satu dorongan untuk mengapungkan harga ayam ialah kestabilan harga makanan ternakan. Seharusnya harga ayam di pasaran bila diapungkan tidak meningkat banyak. Ada yang meramalkan harga apung adalah harga kawalan ditambah dengan subsidi yang dialihkan iaitu RM10.20 sekilogram. Itu mungkin pengharapan kita semua!
Berdasarkan data antarabangsa, kedua-dua harga kacang soya dan jagung didapati menurun. Harga puncak soya direkodkan pada RM2,660 per tan metrik pada Februari 2023 dan kini menurun kepada RM2,290 per tan metrik pada Jun dan naik sedikit kepada RM2,400 per tan metrik pada September lalu.
Begitu juga dengan jagung yang mencatakan harga USD680 per tan metrik pada Januari hingga Mac lalu dan kini turun kepada USD450 per tan metrik sejak September 2023.
Oleh kerana 70% daripada kos keseluruhan penternakan ayam adalah kos makanan ternakan, seharusnya apabila kerajaan mengumumkan pengapungan harga ayam dan telur kelak, kenaikannya tidak melonjak kepada RM11 sekilogram seperti digembar-gemburkan di akhbar sejak beberapa hari lalu. Apa yang harus dilakukan jika harga ayam benar-benar mencapai ke tahap RM11 sekilogram bila diapungkan?
Di sinilah kerajaan harus menggunakan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 bagi memastikan tiada elemen pencatutan yang memangsakan pengguna. Pemeriksaan kos dan harga di semua peringkat rantaian termasuk harga makanan ternakan bagi memastikan margin yang munasabah dibenarkan. Kerajaan juga harus menyiasat secara terperinci kewujudan kartel dalam industri ayam.
Kerajaan juga harus bersedia membenarkan pengimportan ayam hidup atau ayam segar beku yang lebih murah dari harga diapungkan untuk dilambakkan bagi menstabilkan harga ayam di pasaran tempatan.
Pengapungan harga ayam ini adalah langkah perintis untuk kerajaan kembali kepada sistem ekonomi pasaran terbuka. Dan pengapungan ini juga harus digandingkan dengan program rasionalisasi subsidi untuk negara berpindah kepada subsidi bersasar. Jika ia berjaya, pengalaman ini boleh dikembangkan kepada komoditi lain seperti minyak masak, gula, LPG, RON95 dan diesel.
Sumbangan Tunai Rahmah (STR) pula harus digandingkan dengan program pengapungan harga dan subsidi bersasar. Penerima harus disedarkan bahawa STR diterima itu adalah sebahagian daripada bantuan kerajaan untuk mengurangkan beban kos sara hidup terutama bagi menampung perbezaan harga setelah sesuatu komoditi itu diapungkan harganya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan