"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Beberapa negara barat tidak mahu beri sokongan untuk hentikan keganasan di Gaza

HarapanDaily.com

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan rasa kesal Malaysia dengan pendirian beberapa negara barat yang dilihat enggan memberikan dukungan kepada isu-isu kemanusiaan di Gaza.

Menurutnya, Malaysia tegas dengan pendirian supaya segala bentuk serangan ke atas orang ramai, termasuk wanita dan kanak-kanak Palestin dihentikan, dan bantuan dari sudut kemanusiaan disalurkan kepada mereka.

Namun, ujarnya, beberapa pemimpin negara Arab yang telah ditemuinya sehingga kini memberikan respons yang positif terhadap isu yang dibangkitkan Malaysia berhubung perkembangan di Gaza.

“Banyak negara Islam membuat ketetapan yang positif. Hentikan serangan dan tingkatkan usaha membantu rakyat (Gaza) dari segi kemanusiaan,” katanya dalam sidang media di hujung lawatan kerja dua hari Perdana Menteri ke Turkiye.

Sebelum itu, Anwar mengadakan pertemuan dengan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan di Istana Vahdettin di Istanbul bagi membincangkan pelbagai isu termasuk perdagangan, kerjasama ekonomi, hubungan dua hala dan sebagainya.

Beliau juga mengadakan perjumpaan dengan Menteri Kewangan Turkiye Mehmet Simsek, Menteri Luar Turkiye Hakan Fidan, dan Pengarah National Intelligence Organisation Turkiye Ibrahim Kalin.

Perdana Menteri berkata dari segi bantuan kepada penduduk Palestin, Turkiye dilihat berada lebih di hadapan, apabila negara itu telah berusaha menyalurkan pelbagai bentuk bantuan perubatan ke kawasan berkenaan, walaupun terdapat kesukaran untuk ia sampai ke kawasan pedalaman di Gaza.

Sementara itu, Anwar menegaskan konflik di Gaza amat membimbangkan, kerana sekiranya Israel berkeras cuba menawan wilayah itu, ia akan membawa kepada krisis berpanjangan membabitkan banyak negara Arab.

Anwar kemudiannya berlepas dari lapangan terbang antarabangsa Istanbul, untuk meneruskan lawatan kerja di Mesir.

Beliau dijangka mengadakan pertemuan dengan Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi, dengan isu kemanusiaan terus menjadi tajuk utama perbincangan.

Tiada ulasan: