"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Lucah': Rara rujuk MP Langkawi ke jawatankuasa hak dan kebebasan

Malaysiakini

Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman, menghantar usul ke pejabat setiausaha Dewan Rakyat untuk merujuk Ahli Parlimen Langkawi, Mohd Suhaimi Abdullah ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Katanya usul berkenaan susulan kenyataan Mohd Suhaimi yang biadab, lucah dan berunsurkan gangguan seksual kepada ahli parlimen Seputeh, Teresa Kok pada 26 Okt lalu.

Syefura atau lebih dikenali sebagai Rara berkata kelakuan Mohd Suhami secara tidak langsung menghina Akta Antigangguan Seksual yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 20 Julai tahun lalu.

"Menerusi akta tersebut, gangguan seksual ditakrifkan sebagai apa-apa kelakuan yang tak diingini yang bersifat seksual dalam apa-apa bentuk sama ada secara lisan, bukan lisan, visual, isyarat atau fizikal yang ditujukan kepada seseorang yang secara munasabahnya menyinggung atau menghina atau merupakan suatu ancaman kepada kesejahteraannya.

"Oleh yang demikian harapan saya adalah untuk beliau dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan serta mendapat tindakan yang sewajarnya agar ia menjadi pengajaran kepada setiap ahli parlimen yang lain agar tidak berkelakuan biadab dan tidak mengeluarkan kenyataan lucah terhadap mana-mana ahli parlimen yang lain," kata Rara dalam satu kenyataan.

Semalam ketika perbahasan di Dewan Rakyat, Suhaimi mencetuskan kontroversi apabila mengundang Kok ke Langkawi dalam keadaan tanpa berpakaian.

Ia sebagai respons terhadap pertanyaan Kok yang memintanya mengesahkan sama ada benar pelancong tidak dibenarkan memakai seluar pendek di bawah pentadbiran kerajaan PAS.

“Saya nak jemput khusus kepada Seputeh, YB Seputeh datang tak mahu pakai apa pun tak apa,” katanya.

Ketika diarahkan untuk menghentikan perbahasan oleh Timbalan Speaker, Alice Lau Kiong Yeing, Suhaimi menuding jari kepada Kok kerana bertanya soalan berkaitan pemakaian seluar pendek di Langkawi terlebih dahulu.

Dia juga enggan menarik balik kenyataan itu meskipun diminta oleh Chong Zhemin (PH-Kampar).

"Saya terlupa hendak sebut, saya nak bayangkan bagaimana Seputeh datang tidak pakai apa-apa ke Langkawi. Itu saja," tambahnya.

Mengulas perkara itu Rara berkata dia kesal dengan perilaku ahli parlimen berkenaan yang enggan menghentikan perbahasan walaupun telah ditegur berkali-kali oleh timbalan speakar.

"Sebagai seorang ahli parlimen, beliau adalah contoh kepada penduduk kawasan yang diwakili beliau dan juga kepada rakyat Malaysia.

"Namun begitu melihat kepada respon yang diberikan, beliau seakan-akan tidak kesal dengan apa yang diucapkan bahkan menokok tambah kenyataan beliau,” katanya.

Tiada ulasan: