"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Netanyahu bayangkan serangan darat makin hampir

AFP
Warga Palestin mencari mangsa dalam runtuhan bangunan susulan serangan udara di selatan Gaza hari ini. (Gambar AP)
BAITULMAQDIS: Israel mengerahkan kereta kebal, tentera dan jentolak berperisai ke Semenanjung Gaza dalam “serbuan bersasar” yang memusnahkan pelbagai lokasi sebelum meninggalkan wilayah diperintah Hamas itu, kata tenteranya.

Asap hitam memenuhi ruang udara selepas satu letupan yang dipaparkan dalam rakaman disiarkan tentera, beberapa jam selepas Perdana Menteri Benjamin Netanyahu mengumumkan persediaan sedang dilakukan untuk melaksanakan serangan darat.

Pada hari ke-20 perang terburuk di Gaza itu yang melihat ribuan kematian, tentera berkata pihaknya menyerang pelbagai lokasi penentang serta infrastruktur.

Operasi di utara Gaza itu sebagai persediaan untuk peringkat pertempuran seterusnya, menurut tentera.

Rakaman video hitam putih itu menunjukkan sekumpulan kereta berperisai berhampiran sempadan Gaza. Rakaman lain menunjukkan serangan udara terhadap bangunan.

Seorang wanita Palestin, Umm Omar al-Khaldi di selatan Gaza menceritakan kepada AFP bagaimana beliau melihat jirannya maut dalam serangan udara Israel yang memusnahkan kediaman mereka.

Kereta kebal Israel melepaskan tembakan terhadap Semenanjung Gaza, semalam. (Gambar AP)
“Kami menyaksikan mereka dibedil – anak-anak maut dalam dakapan ibu mereka,” katanya yang merayu dunia melakukan sesuatu.

“Di manakah orang Arab, di manakah kemanusiaan? Kasihanilah kami, kasihanilah kami,” katanya.

Angka kematian perang itu setakat ini adalah yang tertinggi direkodkan sejak 2005.

Pelbagai kejiranan musnah, doktor melakukan pembedahan tanpa bius, manakala trak aiskrim dijadikan tempat simpanan mayat.

Anggota penyelamat dan orang ramai sering dilihat mencari mangsa terperangkap di bawah runtuhan bangunan, kadangkala hanya menggunakan tangan untuk mengalihkan sisa bangunan.

“Tiada tempat selamat di Gaza,” kata Lynne Hastings, penyelaras kemanusiaan PBB bagi wilayah Palestin.

Tiada ulasan: