"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Takut dihantar ke sekolah, rupanya trauma dirogol bapa saudara

Juwan Riduan
am@hmetro.com.my
SUSPEK lelaki berusia 57 tahun diberkas polis di rumahnya di Papar. FOTO Ihsan Polis
SUSPEK lelaki berusia 57 tahun diberkas polis di rumahnya di Papar. FOTO Ihsan Polis
Papar: Curiga seorang ibu kerana anaknya enggan dihantar dan diambil ke sekolah oleh bapa saudaranya akhirnya terjawab apabila kanak-kanak itu membongkar perbuatan terkutuk lelaki terbabit yang merogolnya.

Kanak-kanak berusia 12 tahun mendedahkan kepada ibunya bahawa dia dirogol bapa saudaranya pada Ogos lalu, di dalam kenderaan milik suspek, di tepi jalan berhampiran Kampung Langsat, di sini.

Suspek berusia 57 tahun itu sebelum ini dipertanggungjawabkan untuk menghantar dan mengambil mangsa di sekolah.

Susulan itu, ibu mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar kelmarin.

Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar membuat serbuan di sebuah kampung, di Papar kira-kira 2 petang semalam.

Katanya, hasil serbuan dan pemeriksaan dalam rumah berjaya menahan suspek terbabit dan turut dirampas adalah pakaian dan juga kenderaan milik suspek.

"Kejadian berlaku ketika suspek menjemput mangsa yang selesai sesi persekolahan.

"Ketika dalam perjalanan pulang ke rumah, suspek merogol mangsa di dalam kereta kereta milik suspek di kawasan tepi jalan berhampiran Kampung Langsat.

"Selepas merogol mangsa, suspek menghantarnya pulang ke rumah seperti biasa," katanya.

Kamaruddin berkata, suspek adalah adik-beradik kepada bapa mangsa dan suspek tinggal berhampiran dengan rumah mereka.

"Mangsa juga menyatakan perkara itu hanya berlaku sekali dan mangsa sudah dirujuk ke Hospital Wanita Dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) Likas, untuk pemeriksaan lanjut.

"Suspek ditahan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan dan akan dipohon reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan," katanya.

Tiada ulasan: