Ahli Parlimen Baling pula minta maaf, salahkan admin fitnah Saifuddin
SITI NUR ZAWANI
Ahli Parlimen Baling, Hassan Saad memohon maaf susulan video yang dimuat naik di Facebook miliknya dengan persoalan “sejak bila Pudin jadi juru nikah untuk pasangan bukan Islam? Nauzubillahi min zalik”.
Yang Dipertua Pas Baling itu mendakwa, hantaran beliau itu dilakukan oleh admin atau pentadbir halamannya dan bukan dirinya sendiri.
“Assalamualaikum mengambil maklum satu posting video di Facebook ini pada petang semalam telah menimbulkan rasa kurang senang ramai pihak.
“Ingin dijelaskan bahawa posting berkenaan bukanlah dilakukan oleh Ahli Parlimen Baling, YB Ustaz Hassan Saad tetapi oleh salah seorang admin bertugas
“Justeru, pihak pengurusan ingin memohon maaf di atas kekhilafan yang telah berlaku dan akan memastikan perkara sebegini tidak berulang,” katanya.
Hassan berkata, bagi mengambil sikap bertanggungjawab, admin yang menaikkan hantaran terbabit sudah pun diambil tindakan iaitu tidak boleh membuat sebarang hantaran bermula 7 petang semalam.
“Bagi mengambil sikap tanggungjawab, pengurusan akan mengambil tindakan sewajarnya kepada admin berkenaan. Admin terlibat juga sudah tidak dibenarkan membuat sebarang posting sejak jam 7 malam semalam.
“Sekali lagi kami pihak pengurusan memohon maaf di atas apa telah berlaku,” tambahnya.
Hantaran kontroversi tersebut bagaimanapun telah dipadam manakala ruangan komen wakil rakyat Pas itu ditutup.
Semalam, Hassan memuat naik video Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution yang berdurasi 23 saat. Seiring hantaran itu, beliau mempersoal sejak bila Saifuddin menjadi jurunikah kepada pasangan bukan Islam.
Bagaimanapun Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pada semalam menegaskan, sesi pendaftaran perkahwinan yang dijalankan di JPN adalah berlandaskan undang-undang sivil di bawah Akta 164.
JPN berkata, proses pendaftaran Perkahwinan Sivil terbabit tidak melibatkan, tidak menyerupai, tidak melambangkan dan tidak dipengaruhi dengan mana-mana ritual keagamaan atau adat sesuatu kaum.
Pada masa sama, bekas Menteri Agama, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, turut mengesahkan bahawa proses pendaftaran Perkahwinan Sivil itu hanyalah prosedur biasa di JPN dan sama sekali bukan upacara agama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan