"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Indonesia terbangkan pesawat guna bahan api campuran minyak sawit

Pesawat milik Garuda Indonesia melakukan penerbangan komersial pertamanya menggunakan bahan api jet campuran minyak sawit. - Foto REUTERS
Pesawat milik Garuda Indonesia melakukan penerbangan komersial pertamanya menggunakan bahan api jet campuran minyak sawit. - Foto REUTERS
JAKARTA: Indonesia semalam, melakukan penerbangan komersial pertamanya menggunakan bahan api jet campuran minyak sawit.

Ia dilakukan ketika pengeluar sawit terbesar dunia itu mendesak penggunaan biofuel lebih meluas untuk mengurangkan import bahan api.

Ketua Pegawai Eksekutif Garuda Indonesia, Irfan Setiaputra, berkata pesawat Boeing 737-800NG kendalian syarikat itu membawa lebih 100 penumpang dari Jakarta ke Surakarta dengan jarak kira-kira 550 kilometer.

"Kami akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Pertamina, Kementerian Tenaga dan pihak lain untuk memastikan harga bahan api ini berpatutan," katanya sambil menambah pesawat itu dijadual pulang ke Jakarta, semalam.

Garuda menjalankan beberapa ujian termasuk ujian penerbangan menggunakan bahan api baharu awal bulan ini, manakala ujian enjin, pada Ogos lalu.

Bahan api jet campuran minyak sawit dihasilkan firma tenaga Indonesia, PT Pertamina di kilang penapisannya di Cilacap, menggunakan teknologi hydroprocessed ester and fatty acid (HEFA) dan diperbuat daripada minyak isirong sawit luntur ditapis.

Pertamina berkata, bahan api berasaskan sawit itu kurang melepaskan gas rumah hijau, berbanding bahan api fosil, selain negara pengeluar minyak sawit menggesa minyak makan, dimasukkan ke dalam bahan mentah pengeluaran bahan api penerbangan mampan (SAF).

Pengarah Pertamina, Alfian Nasution, berkata 2.0 SAF dihasilkan di unit Cilacap, menggunakan teknologi pemprosesan bersama dan diperbuat daripada minyak isirong sawit luntur ditapis dengan kapasiti pengeluaran 1,350 kiloliter sehari, pada 2021.

Sementara itu, Pengarah Kementerian Tenaga, Harris Yahya, berkata penggunaan biofuel akan mengurangkan kesan rumah hijau.

Penerbangan adalah industri utama melepaskan gas rumah hijau, selain sedang mencari kaedah untuk mengurangkan jejak karbonnya, menggunakan sumber alternatif.

Pakar berkata, industri penerbangan akan memerlukan 450 bilion liter SAF setahun menjelang 2050, jika ia menyumbang kepada kira-kira 65 peratus pengurangan diperlukan untuk mencapai sasaran sifar pelepasan gas hijau.

Namun, beberapa negara menimbulkan kebimbangan mengenai potensi penebangan hutan bagi pengeluaran minyak sawit dari ladang dengan Kesatuan Eropah mengenakan sekatan import ke atas komoditi itu.

Pada 2021, Indonesia menjalankan ujian penerbangan dengan bahan api sama pada pesawat Dirgantara Indonesia, dari Bandung ke Jakarta.

Indonesia mewajibkan tiga peratus penggunaan biofuel untuk bahan api jet, menjelang 2020, namun pelaksanaannya ditangguhkan. - REUTERS

Tiada ulasan: