"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

‘Jangan ikut selera kita’, PM nasihat NGO ingin bantu rakyat Gaza

Bernama

KAHERAH: Anwar Ibrahim menasihatkan pasukan sukarelawan dan badan bukan kerajaan (NGO) dari Malaysia, yang ingin menyalurkan bantuan kepada mangsa kekejaman rejim Israel di Gaza, supaya memberikan bantuan berasaskan keperluan.

Perdana menteri berkata, walaupun beliau mengakui niat NGO dan pasukan sukarelawan berkenaan baik, perbincangan dengan pihak berkaitan perlu dibuat sebelum menyalurkan bantuan, bagi memastikan ia benar-benar bermanfaat kepada mangsa.

“Jangan beli ikut selera kita, ini masalah badan-badan yang menganjurkan, niatnya baik, tetapi kadang-kadang yang dibeli yang orang tidak perlukan atau dia tentukan, tidak boleh, kita kena dengar sendiri apa yang orang Gaza nak.

“Ubat, ubat pun ada beberapa jenis ubat, ubat mesti label dengan betul…Oleh yang demikian, ada beberapa kaedah yang harus dipatuhi. Kemudian makanan begitu juga, mereka tiada upaya masak, jadi (perlukan) makanan siap, dalam tin, ada yang beri maklumat kalau mi segera tu, dia tak makan.

“Jadi dalam hal ini, jangan beli sehingga kita tahu (apa yang rakyat Gaza perlukan),” katanya kepada wartawan Malaysia dalam sidang media pada akhir lawatan kerja dua harinya ke Mesir.

Anwar berkata demikian sebagai mengulas pertemuannya dengan Presiden Persatuan Bulat Sabit Merah Mesir Dr Ramy el-Nazer, yang turut dihadiri Menteri Luar Zambry Abd Kadir, Duta Besar Malaysia ke Mesir Zamani Ismail dan Exco Mercy Malaysia Azura Ibrahim.

Sementara itu, Anwar mengingatkan badan tidak berdaftar, tidak telus dan tidak memiliki akaun teratur, tidak mengutip derma bagi tujuan kebajikan kerana ia akan merugikan masyarakat Gaza yang memerlukan.

Mengenai bantuan pakaian kepada masyarakat Gaza, Anwar berkata kerajaan Malaysia akan menghantar keperluan berkenaan menggunakan pesawat ke Mesir, sebelum menyerahkannya kepada Persatuan Bulan Sabit Merah untuk dihantar ke Gaza.

“Saya sebut dengan Presiden Mesir Abdel Fattah el-Sisi tadi, kita minta keizinan kerajaan Mesir dan beliau memberi pengakuan untuk menyegerakan kelulusan (penghantaran bantuan) dan memindahkan kepada bulan sabit (Persatuan Bulan Sabit Merah) atau badan-badan lain yang kita iktiraf,” katanya.

Mengenai lawatannya ke Riyadh, Turki dan Mesir, Anwar berkata banyak pengiktirafan diberikan kepada Malaysia termasuk pihak media yang mengadakan temu ramah eksklusif dengannya.

Tiada ulasan: