"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mujahid tuntut Dusuki bayar kos kalah saman dalam tempoh 14 hari

HarapanDaily.com

SITI NUR ZAWANI
Mujahid tuntut Dusuki bayar kos kalah saman dalam tempoh 14 hari
Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa memberi tempoh 14 hari kepada bekas Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas, Ahmad Dusuki Abd Rani untuk menjelaskan bayaran kos mahkamah berjumlah RM23,000.

Mujahid dalam satu hantaran di Facebook memaklumkan, Ahmad Dusuki sehingga hari ini masih gagal menjelaskan bayaran berkenaan.

Pengerusi Pakatan Harapan Perak itu berkata, Notis Akhir telah dikeluarkan oleh peguamnya untuk menuntut Ahmad Dusuki berbuat demikian.

“Merujuk kepada kes saya dan Dusuki di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Mahkamah Tinggi Shah Alam dan Mahkamah Rayuan Putrajaya, mahkamah-mahkamah tersebut telah memerintahkan Dusuki membayar kos kepada saya berjumlah RM23,000.00.

“Sehingga hari ini, Dusuki masih gagal dan/atau cuai untuk membuat bayaran kos tersebut. Oleh itu, peguam saya telah mengeluarkan satu Notis Akhir kepada Dusuki untuk menuntut beliau membuat bayaran tersebut dalam tempoh 14 hari,” katanya.

Bekas menteri agama itu berkata, sekiranya Dusuki gagal, beliau akan meneruskan dengan tindakan pelaksanaan termasuk kepada tindakan Writ Penyitaan dan Penjualan, Garnishee dan apa-apa jua tindakan pelaksaan yang difikirkan sesuai.

Sebelum ini Mahkamah Sesyen menolak saman fitnah difailkan Ahmad Dusuki dengan kos RM11,000, selepas mendapati Mujahid tidak memfitnahnya kerana semasa perbicaraan, terbukti bahawa aset Tabung Haji tidak dijual kepada orang bukan Islam.

Ahmad Dusuki kemudian membuat rayuan ke Mahkamah Tinggi sebelum Mahkamah Tinggi juga menolak rayuannya untuk mencabar keputusan Mahkamah Sesyen. Beliau diperintah membayar kos RM7,000.

Pada 29 Ogos, pemimpin Pas itu menarik balik rayuannya di Mahkamah Putrajaya untuk mencabar keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak saman fitnahnya terhadap Mujahid. Untuk itu beliau diperintah membayar kos sebanyak RM5,000 kepada Mujahid.

Keseluruhannya berjumlah RM23,000.

Tiada ulasan: