Serimah Mohd Sallehuddin
bhnews@bh.com.my
Aida tak perasan sebarang perubahan pada arwah Badrul, nampak okay dan sihat semalam. - Foto IG Aida Aris
KUALA LUMPUR: Pelakon Aida Aris mendedahkan terdengar jeritan isteri Allahyarham Badrul Muhayat iaitu Norhayati Zulkapli daripada dalam bilik dan terkejut melihat sekujur tubuh yang tidak lagi bernyawa.
"Pagi tadi, saya terkejut bila mendengar jeritan Norhayati daripada dalam bilik.
"Secara kebetulan, kami menginap di homestay sama, jadi saya bergegas ke biliknya dan mendapati arwah sudah tidak sedarkan diri.
"Kami cuba memberi bantuan pernafasan, tapi tiada respon dan kami segera memanggil ambulans," katanya yang berada di Pulau Pinang kerana menyertai Karnival Uda di Jalan Baru Perai sejak semalam.
Aida berkata, kali terakhir berjumpa sebelum arwah masuk tidur, semalam.
"Saya tak perasan sebarang perubahan pada arwah. Dia pun nampak okay dan sihat sahaja.
"Arwah beritahu matanya mengantuk dan nak masuk tidur, malam tadi. Itu sahaja yang sempat kami bualkan sebelum arwah masuk bilik," katanya kepada BH Online.
Aida terkejut dengar jeritan Norhayati daripada dalam bilik, sebelum melihat arwah Badrul sudah tidak sedarkan diri. - Foto IG Aida Aris
Difahamkan, jenazah arwah Badrul masih lagi berada di homestay dan isterinya kini masih berada di balai polis untuk membuat laporan.
"Setakat ini, kami masih menunggu Norhayati pulang dari balai polis.
"Jenazah masih berada di homestay, selepas itu barulah kita tahu keputusan bawa arwah ke mana," katanya.
Terdahulu, Allahyarham Badrul, 55, disahkan meninggal dunia dalam tidur pada pagi tadi.
Beliau meninggalkan seorang balu, Norhayati yang baru dinikahi pada 18 April lalu.
Allahyarham Badrul memiliki dua cahaya mata, hasil perkahwinannya yang terdahulu masing-masing berusia 14 dan 16 tahun.
Badrul bersama isterinya, Norhayati Zulkapli pada majlis pra tayangan filem Cerana Biduk Bu Merah, 6 Oktober lalu. - Foto NSTP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan