Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my
Alor Setar: Remaja perempuan 14 tahun yang menyebabkan kemalangan sehingga meragut nyawa seorang peniaga di Jalan Kuala Kedah, Ahad lalu, mengaku pernah mengadakan hubungan seks dengan dua lelaki.
Sekali gus polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan berikutan kes itu diklasifikasikan sebagai kes rogol kerana status remaja berkenaan masih di bawah umur.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, susulan itu polis menahan seorang suspek lelaki malam tadi dan sedang memburu seorang lagi suspek.
"Polis buka dua kertas siasatan membabitkan remaja itu iaitu mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 berhubung kes kemalangan maut yang berlaku pada 22 Oktober lalu dan berkaitan kes rogol.
"Remaja itu mendakwa melakukan hubungan seks dengan dua lelaki pada awal tahun ini dan beberapa hari sebelum kemalangan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini, hari ini.
Dalam kejadian Ahad lalu, Nur Shafiqah Abdullah, 32, maut selepas motosikal dinaiki bersama kakaknya, Nooraliza, 43, dirempuh kereta Proton Satria dipandu remaja berkenaan pada jam 7.05 malam.
Difahamkan kereta itu dimiliki rakan ibu remaja berkenaan dan dipercayai kenderaan itu terlebih dulu terbabas ke pembahagi jalan, sebelum masuk ke arah bertentangan dan bertembung dengan motosikal dinaiki mangsa.
Mengulas lanjut Fisol berkata, hasil ujian saringan awal air kencing terhadap remaja itu mendapati dia negatif dadah.
Fisol berkata, polis akan turut memanggil ibu mangsa bagi menjalankan siasatan terhadap kes terbabit.
"Ketika ini remaja perempuan itu berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
"Kami akan melengkapkan siasatan sebelum menyerahkannya kepada pihak pendakwa raya untuk tindakan lanjut," katanya.
Dalam pada itu Fisol berkata, hingga kini pihak polis menerima lebih 140 kes rogol membabitkan remaja bawah umur di Kedah, pada tahun ini.
Katanya, selepas siasatan dilakukan, didapati hubungan yang berlaku itu adalah secara suka sama suka.
"Namun disebabkan kejadian membabitkan remaja bawah umur, maka kes itu diklasifikasikan sebagai rogol," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan