"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sikap tamak haloba mungkin jadi penyebab ramai mudah tertipu dengan pelaburan yang tak wujud

Diperdaya pelaburan kripto, pengarah syarikat rugi RM7.1 juta

Bernama

KUALA LUMPUR: Seorang pengarah sebuah syarikat berputih mata apabila menanggung kerugian RM7.1 juta selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan mata wang kripto sejak Julai lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Ramli Yoosuf, berkata mangsa berusia 52 tahun itu ditipu selepas menyertai kelas berkaitan pasaran stok secara dalam talian yang menjanjikan pulangan lumayan.

Beliau berkata mangsa telah dinasihatkan untuk menceburi pelaburan mata wang kripto menggunakan platform ‘Yoamex’ dan membuka akaun pada Julai lepas dengan jumlah keseluruhan pelaburan RM7.1 juta.

Melalui laman sesawang pelaburan itu, katanya pengarah syarikat itu dapat melihat akaunnya menjana keuntungan hingga USD13.7 juta (RM65.58 juta).

“Mangsa memaklumkan dia tidak dapat membuat pengeluaran pelaburan itu kerana didakwa terdapat siasatan sedang dijalankan di bawah pengubahan wang haram,” katanya pada sidang media khas JSJK hari ini,.

Menurutnya, mangsa juga diminta membuat bayaran tambahan sebanyak 5% daripada jumlah keuntungan pelaburan iaitu USD683 juta (RM3.2 juta).

Sementara itu, Ramli berkata polis turut menerima laporan melibatkan pelaburan mata wang kripto dengan nilai kerugian RM2.75 juta membabitkan seorang pesara tentera berusia 75 tahun.

Beliau berkata mangsa tertarik dengan iklan pelaburan mata wang kripto di Facebook pada Mei lepas sebelum dihubungi seorang individu selepas menekan pautan iklan berkenaan.

“Individu yang memperkenalkan diri sebagai penasihat pelaburan itu, kemudian menawarkan pakej pelaburan menjanjikan pulangan tinggi dalam masa beberapa hari,” katanya.

Menurutnya, mangsa hanya dapat melihat keuntungan diraih secara dalam talian menerusi laman sesawang, tetapi tidak dapat membuat sebarang pengeluaran wang.

Dalam satu lagi kes, Ramli berkata seorang ahli perniagaan berusia 19 tahun kerugian RM1.43 juta apabila menyertai pelaburan yang diiklankan menerusi Instagram pada 17 Okt lepas.

“Mangsa tertarik dengan pakej pelaburan itu yang bernilai antara RM2,800 hingga RM6,738 setiap slot dengan keuntungan ditawarkan hingga RM70,000 dalam tempoh tiga bulan.

“Dia telah membeli sebanyak 54 slot pelaburan tetapi tidak menerima keuntungan dijanjikan,” katanya.

Menurutnya, ahli perniagaan itu juga diminta membuat bayaran RM431,000 kepada sindiket terlibat bagi mengupah pengawal keselamatan untuk mengiringi penghantaran wang tunai sebanyak RM60 juta.

“Selepas bayaran dibuat, wang tunai dijanjikan tidak diterima oleh mangsa,” katanya sambil memaklumkan setakat ini tiada sebarang tangkapan dibuat berhubung ketiga-tiga kes berkenaan.

Tiada ulasan: