"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dr Akmal Saleh: Siapa anda mahu halang takbir dilaungkan

NOR SYAMIRA LIANA NOR ASHAHA

SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh menyelar tindakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyekat laungan Allahuakbar sewaktu himpunan solidariti untuk rakyat Palestin.

Beliau berkata, tidak ada sesiapa yang boleh menghalang takbir untuk dilaungkan kerana Islam merupakan agama persekutuan di Malaysia.

“Kalau nak bertakbir pun tidak boleh, saya mencadangkan penganjur mengadakan himpunan untuk rakyat Palestin di pejabat NGO dan sesama mereka sahaja.

“Ini negara Malaysia, Islam adalah agama persekutuan, maka siapa anda mahu menghalang takbir dilaungkan?” soalnya menerusi satu hantaran di laman sosial, Facebook pada Isnin.

Pada Ahad, ramai menzahirkan rasa kurang senang terhadap penganjur perhimpunan Viva Palestin yang didakwa melarang laungan takbir dan mengangkat plakad mengutuk Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

Sementara itu, Jurucakap Gagasan Bangsa, Aminuddin Yahaya menggesa ahli politik kerajaan yang hadir ke perhimpunan berkenaan untuk mengeluarkan kenyataan terhadap kegagalan penganjuran itu.

Menurutnya, sokongan terhadap Palestin mesti dilaksana tanpa apologetik kerana ia bukan melibatkan isu kemanusiaan semata-mata tetapi sebagai juga aqidah.

“Tatkala orang-orang Islam di Eropah yang berhimpun bersolidariti buat Palestin tanpa segan silu bertakbir dengan begitu bangga bersama orang bukan Islam, kita pula di negara Islam jadi takut tanpa sebab yang kukuh pula.

“Padahal yang menganjurkan himpunan tersebut adalah figura-figura yang beragama Islam,” katanya.

Dalam pada itu, Aminuddin turut meminta penganjur untuk menerangkan sebab laungan Allahuakbar itu dianggap menyinggung perasaan orang bukan Islam.

Jelasnya, NGO tersebut patut menjelaskan kepada pengunjung bahawa kalimah takbir itu sebenarnya menyatupadukan umat Islam.

“Perkara yang lagi pelik ialah plakad-plakad yang mengutuk Perdana Menteri Israel diarah diturunkan sehingga penganjur melabel mereka (pembawa plakad) sebagai Zionis.

“Entah apa yang ada di benak fikiran sehingga sanggup melabelkan umat Islam yang hadir melaungkan semangat jihad sebagai Zionis?” soalnya.

Tiada ulasan: