"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Salakan anjing bawa penemuan mayat lelaki dalam longkang

Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my
POLIS melakukan pemeriksaan di lokasi penemuan mayat di bawah penutup longkang di Taman Derga Jaya di Alor Setar, malam tadi. FOTO Wan Nabil Nasir
POLIS melakukan pemeriksaan di lokasi penemuan mayat di bawah penutup longkang di Taman Derga Jaya di Alor Setar, malam tadi. FOTO Wan Nabil Nasir
Alor Setar: Wanita sedang bersenam terkejut apabila anjing peliharaannya yang dibawa bersama, tiba-tiba menyalak sebaik tiba di kawasan longkang berair di Taman Derga Jaya di sini, petang semalam.

Wanita terbabit, Lee Ming Ching, 51, berkata, dia kemudian menghampiri kawasan sebelum mendapati mayat seorang lelaki di bawah penutup besi longkang berkenaan.

Katanya, sebaik tiba di satu kawasan, anjingnya menghidu sesuatu sebelum mengorek tanah di kawasan itu.

"Saya tak sedap hati dan menyangka anjing mengesan biawak, namun haiwan peliharaan saya itu berkelakuan pelik apabila enggan pulang walaupun sudah beberapa kali 'ditarik'.

"Hairan dengan tingkah laku anjing, saya menjenguk di satu kawasan longkang berpenutup besi sebelum ternampak satu mayat lelaki dalam keadaan terlangkup di dalam air," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, malam tadi.

Berikutan itu, dia kemudian menghubungi polis untuk memaklumkan kejadian itu.

Katanya, dia kerap nampak lelaki itu di kedai makan tidak jauh dari kawasan ini kerana lelaki itu selalu membeli air kopi di situ dan memanggilnya dengan panggilan 'uncle'.

Berikutan itu, pasukan Unit Forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah ke lokasi.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung kejadian itu pada 7.25 malam.

Beliau berkata, isteri dan anak si mati kemudian hadir di tempat kejadian bagi mengecam mayat berkenaan.

Beliau berkata, berdasarkan keterangan anak si mati, bapanya yang berusia 58 tahun itu menyerahkan semua barang peribadinya iaitu Mykad, kad bank serta beg duit kepada ibunya dan dipercayai keluar rumah. 3.30 petang semalam, tetapi tidak memaklumkan dia hendak ke mana.

"Si mati dinyatakan mempunyai sejarah sakit Parkinson dan mengalami masalah mental kira-kira 13 tahun.

"Hasil pemeriksaan awal mendapati tidak ada sebarang unsur jenayah ditemukan pada si mati dan myat kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk dibedah siasat," katanya.

Tiada ulasan: