Bernama
KUALA LUMPUR: Seorang buruh binaan dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan dalam sebuah lif minggu lepas.
Hakim Mohd Kafli Che Ali menjatuhkan hukuman itu terhadap G Mohana Das, 40, dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara bermula tarikh tangkapan 15 Julai lepas.
Mahkamah turut mengarahkan tertuduh menjalani kaunseling selama setahun ketika dalam penjara serta pengawasan polis selama setahun selepas tamat tempoh hukuman penjara.
Tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa berusia 16 tahun dalam lif di sebuah projek perumahan rakyat (PPR) di Cheras pada 11.30 pagi 15 Julai lepas.
Pertuduhan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.
Mengikut fakta kes, kejadian itu berlaku ketika mangsa menaiki lif untuk pulang ke rumahnya di tingkat 17 dan ketika itu tertuduh juga masuk ke lif berkenaan.
Susulan itu, mangsa menceritakan kejadian itu kepada ibunya yang kemudian membuat laporan polis pada hari sama.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Noor Shakira Aliana Alias memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam dan kejadian berlaku di sekitar rumah mangsa yang sepatutnya menjadi kawasan selamat bagi remaja itu.
Lelaki tidak diwakili peguam itu merayu hukuman ringan atas alasan dia berpisah dengan isteri dan perlu menanggung seorang anak serta ibunya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan