"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kenyataan Shamsul Iskandar Akin boleh ‘susahkan’ Anwar

Meski bersifat peribadi, kenyataan Shamsul boleh ‘susahkan’ Anwar, kata penganalisis
Nora Mahpar

Felo Majlis Profesor Negara Azmi Hassan berkata Shamsul Iskandar Akin tak patut bangkit isu berkait keputusan Parlimen Bagan Datuk pada PRU15.

PETALING JAYA: Penganalisis menggesa Shamsul Iskandar Akin lebih berhati-hati mengeluarkan kenyataan kerana mungkin ditafsir ‘telah mendapat restu’ Perdana Menteri Anwar Ibrahim susulan pendedahan dakwaan berkait keputusan Parlimen Bagan Datuk pada PRU15.

Felo Majlis Profesor Negara, Azmi Hassan, berkata selaku setiausaha politik kanan kepada Anwar, tindakan dan kenyataan bekas naib presiden PKR itu boleh memberi kesan terhadap hubungan antara parti kerajaan perpaduan walaupun pandangannya dibuat atas kapasiti peribadi.

Menurut Azmi, tidak mungkin Anwar mahu ‘menggoncang’ hubungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)  ketika ini berjalan baik, sehingga melancarkan pentadbirannya yang dibentuk pada Disember 2022.

“Mungkin terlepas cakap dan masih mahu mengatakan beliau menang tetapi tak dapat dibuktikan kerana tiada cabaran…namun apa yang pasti ‘kegoncangan’ kerjasama PH-BN akan menggugat kedudukan politik beliau dan Anwar sebagai perdana menteri.

Ramai tidak faham kenapa pendedahan itu dibuat selepas lebih dua tahun berlalu, apa faedahnya tetapi sudah pasti ia disambut lawan iaitu Perikatan Nasional (PN), katanya kepada FMT sambil mencadangkan Shamsul meminta maaf untuk menjernihkan keadaan.

Dalam satu program audio siar baru-baru ini, Shamsul mendakwa diarah tidak mencabar keputusan PRU15 di Parlimen Bagan Datuk yang menyaksikan beliau tewas kepada Zahid Hamidi dengan majoriti tipis 348 undi.

Dakwanya, ini bagi membolehkan pembentukan kerajaan diketuai Anwar melalui kerjasama dengan Umno dipimpin Zahid.

Ketua Penerangan Umno, Azalina Othman Said, menegur Shamsul supaya menghormati proses demokrasi dan berjiwa besar menerima keputusan pilihan raya.

Azmi juga berpendapat, Zahid tidak perlu ‘membuka mulut’ untuk menjawab dakwaan tersebut sebaliknya beban dicipta Shamsul perlu diselesaikan bekas Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu sendiri.

Sebab untuk menyelamatkan kerajaan perpaduan adalah lebih besar dari (masa depan politik) Shamsul sendiri, katanya.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia pula berpendapat sekalipun kenyataan Shamsul bersifat pandangan peribadi, namun menimbulkan ketidakselesaan kepada rakan dalam kerajaan perpaduan khususnya Umno.

Justeru, menjadi tanggungjawab Anwar untuk menasihati ‘orang bawahnya’ supaya tidak lagi mengeluarkan kata-kata yang boleh menggugat kedudukannya di Putrajaya.

“Kenyataan Shamsul dianggap tidak produktif kepada hubungan parti-parti perpaduan.

Anwar kena beritahu kepada pemimpin dalam PH jangan menggugat kestabilan Putrajaya dengan kenyataan tidak positif, katanya.

Tiada ulasan: