"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

RUU Mufti: Mufti hentam menteri agama ‘kurang faham’

Malaysiakini 

Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin mengkritik keras menteri agama  Mohd Na'im Mokhtar berkaitan Rang Undang-Undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan 2024.

Asri berkata kebanyakan besar umat Islam tidak faham berkaitan ajaran Ashairah dan Maturidiyyah yang ingin dijadikan sebagai identiti Ahli Sunnah wal Jamaah.

Malah, dia mendakwa, Na'im sendiri belum tentu faham berkaitan perkara itu.

“Saya berani katakan, insya-Allah, menteri Agama yang beriyai-iya nak mensyaratkan akidah rakyat dengan syarat-syarat itu pun kurang faham. 

“Saya boleh buktikan, insya-Allah, jika saya diberikan ruang secara terbuka disaksikan rakyat untuk bersoal-jawab dengan beliau berkaitan beberapa soalan tentang Ashairah, Maturidiyyah, al-Junaid dan al-Ghazali itu. 

“Jika beliau benar, beliau dahululah buktikan beliau faham sebelum beliau ingin memaksa rakyat. 

“Jika beliau sendiri tidak mampu, apakah beliau mahu menyesatkan akidah rakyat awam yang akhirnya menyesatkan diri?” soalnya.

Semalam, Muhamad Razak Idris, Setiausaha politik kepada Na'im, memberi isyarat sedia menyambut pelawaan Asri untuk membincangkan isu berkaitan RUU yang akan dibacakan kali kedua pada sesi parlimen bulan ini.

Katanya, pejabat menteri dan agensi bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) terbuka mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak bagi mendapatkan input, syor dan pandangan untuk memartabatkan pentadbiran hal ehwal Islam.

Dua puluh empat jam sebelum itu, Malaysiakini melaporkan Asri–pengkritik lantang dan antara terawal berbuat demikian–mengajak Na'im berdialog secara terbuka bagi membincangkan perkara itu.

Asri antaranya menentang penyempitan tafsiran Ahli Sunnah kepada ajaran Ashairah dan Maturidiyyah dan tasawuf cara imam Junaid al-Baghdadi dan al-Ghazali.

Ramai jadi penganut ‘ajaran sesat’?

Sementara itu, dalam kenyataan hari ini, Asri juga mengulas panjang berkaitan wacana berkaitan akidah Ahli Sunnah.

Katanya, RUU itu akan menjadikan keislaman seseorang di Wilayah Persekutuan tidak dianggap mencukupi, terkeluar daripada Ahli Sunnah dan “menganut ajaran sesat”. 

Dia juga berkata untuk mengikuti mazhab akidah seperti Ashairah dan Maturidiyyah, tidak memadai sekadar mengetahui nama pengasas dan satu dua isu teologi sahaja. 

Sebaliknya, katanya, perbahasan akidah berkaitan qidam, azali, jisim, jauhar, masa, tempat dan beberapa teori serta  andaian hukum fizik yang pelbagai perlu difahami.

“Jika dalam perkara amalan (fekah) seseorang boleh sekadar mengikut (bertaqlid) tetapi bab kepercayaan (akidah) tidak boleh. 

“Bahkan mengikut sebahagian tokoh-tokoh besar Ashairah sesiapa yang gagal mendatang bukti keimanan kepada Allah seperti hujah-hujah Ashairah maka imannya tidak sah. 

“Dalam erti kata lain, dia menjadikan kafir,” katanya.

Asri berkata dia percaya sekurang-kurangnya 97 peratus orang Islam di negara itu tidak mampu memahami perbahasan Akidah Ashairah dan Maturidiyyah ini. 

Katanya, majoriti Umat beriman secara fitrah seperti yang berlaku pada generasi awal Islam ketika era Nabi Muhammad dan sahabat baginda.

“Contohnya, orang awam mengatakan al-Quran kalam (firman) Allah. Mereka tidak memikirkan untuk menetapkan al-Quran yang dibaca itu bukan kalam Allah yang hakiki, kerana ia adalah makhluk, sebaliknya kalam Allah ialah kalam nafsi iaitu kalam yang ada pada zat Tuhan. 

“Semua hal ini membingungkan orang awam. Apakah mereka akan dihukum sesat kerana gagal memahami hal itu?”

Dia justeru bimbang era kafir-mengkafir sesama umat akan bermula? 

“Sesat menyesatkan akan menjadi agenda kerajaan? Rakyat akan diuji keabsahan akidah mereka? 

“Atau, mungkin selepas ini akan dicadangkan dimasukkan ke kad pengenalan, Agama: Islam Ashairah Maturidiyyah Junaid dan Ghazali,” sindirnya.

Tiada ulasan: