"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Penumpang tarik brek kecemasan, tren ETS lewat 2 jam tiba di Ipoh

Latifah Arifin
am@hmetro.com.my
TANGKAP layar penumpang ETS menarik brek kecemasan. Foto Ihsan KTMB
TANGKAP layar penumpang ETS menarik brek kecemasan. Foto Ihsan KTMB
Kuala Lumpur: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengingatkan pengguna tren elektrik (ETS) supaya tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh mengganggu perkhidmatan tren ketika ia sedang beroperasi.

Amaran itu dikeluarkan susulan tindakan penumpang tren ETS yang menarik brek kecemasan dengan sengaja ketika tren sedang bergerak semalam.

Susulan insiden itu, tren terbabit mengalami kelewatan selama 120 minit.

"Insiden terbabit berlaku semalam, 12 Oktober sekitar 11.25 malam dan ia dilihat melalui rakaman litar tertutup (CCTV).

"Ia membabitkan tren ETS ES9052 yang sedang dalam perjalanan dari KL Sentral ke Ipoh.

"Tren itu berlepas dari KL Sentral pada 9.40 malam dan dijadualkan tiba di Ipoh pada 12.16 tengah malam. Bagaimanapun, berikut insiden ini, tren tiba di Ipoh jam 2 pagi," katanya dalam satu kenyataan.

Menerusi kenyataan sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin, meminta semua pengguna tren KTMB untuk tidak melakukan sebarang tindakan sedemikian.

"Kami memandang serius perkara seperti ini dan sedang menyediakan laporan lengkap berkaitan insiden itu untuk diserahkan kepada pihak Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) bagi tindakan selanjutnya," katanya.

Pengguna tren yang didapati melanggar peraturan akan dikenakan tindakan tegas di bawah Seksyen 122, Akta 715, Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.

Menerusi akta itu, mana-mana orang yang menggunakan secara tidak wajar alat isyarat kecemasan disediakan pengendali berlesen dalam mana-mana koc atau tren kereta api bagi kegunaan penumpang untuk memberhentikan tren kereta api itu dalam hal kecemasan dikira melakukan kesalahan.

Penumpang boleh didenda tidak melebihi RM1,00 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga bulan atau kedua-duanya.

Tiada ulasan: