"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sokong ajaran sesat? pendirian Pas mengenai GISBH dikecam

Parti Islam konon tapi kuat sokong ajaran sesat, pendirian Pas mengenai GISBH dikecam
Harapandaily

Sikap Pas mempertikaikan tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan ahli kumpulan GISB Holdings (GISBH) di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) mengundang kecaman rakyat.

Pas yang kononnya sebagai parti Islam dilihat sepatutnya bangkit untuk mempertahan akidah umat Islam yang diselewengkan bukannya masih bersimpati dengan GISBH yang jelas mengamalkan ajaran sesat.

Pertikaian Perikatan Nasional (PN) yang dilihat menyebelahi GISBH juga mengecewakan rakyat Malaysia ketika pertubuhan yang memuja pengasas Al-Arqam, Ashaari Muhammad itu bergelut dengan isu penganiayaan terhadap kanak-kanak, pemerdagangan manusia dan amang seksual fizikal selain isu perkahwinan dan masalah nasab yang dihadapi kanak-kanak GISBH.

Semalam, Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menganggap tindakan seumpama itu tidak cermat berikutan GISBH bukan sebuah pertubuhan yang dikaitkan dengan elemen keganasan.

“Kami melihat ini satu keputusan (tindakan oleh PDRM) yang tidak cermat. Sebab itu kita nasihatkan supaya jangan berlebihan, jangan keterlaluan, jamin keadilan pihak yang tertuduh.

“Saya minta pihak kerajaan ambil tindakan sewajarnya,” katanya berbahas pada sesi penerangan menteri mengenai perkembangan dan tindakan berkaitan isu GISBH di Dewan Rakyat semalam.

Rata-rata mengingatkan pembangkang perlu memberi sokongan kepada usaha kerajaan dalam melaksanakan tindakan yang adil terhadap mangsa termasuk keluarga dan kanak-kanak berkaitan GISBH.

“Nama je parti Islam tapi tak boleh diharap untuk selamatkan umat Islam daripada ancaman ajaran sesat. Malah diberi sokongan lagi supaya kerajaan berlembut,” kata Rafie Raff.

“Kalau dah difatwakan mengamalkan ajaran yang ada unsur ajaran sesat dan dituduh melakukan perkara menjijikkan kepada mangsa berbangsa Melayu, wajarkah diangkat sebagai golongan yang memperjuangkan ekonomi Islam dan bangsa Melayu? Pada saya, ianya amat memalukan agama Islam dan bangsa Melayu itu sendiri,” tulis Zualkafli Muhamad Nor.

“Zakat tak bayar, cukai pun tak bayar. Tak masuk kes abaikan kanak-kanak lagi tu. Kenapa takut sangat ni, ada gapo² ko,” kata Ahmad Farhan pula.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, SOSMA digunakan dalam kes GISBH kerana ia melibatkan jenayah serius seperti pemerdagangan orang.

Menurutnya, jumlah tahanan yang ramai juga menyebabkan akta tersebut diguna pakai bagi melengkapkan siasatan.

“Kita menggunakan kaedah biasa namun saiz tangkapan begitu ramai. Kita akan minta reman, kemudian mahkamah akan memberikan tujuh hari, kita belum selesai, kita minta tambahan, mahkamah beri tujuh hari, ada yang beri lima hari, kita minta tambahan lagi, ada mahkamah bagi tiga hari dan ini tidak sempat habis kerana jumlah yang ramai.

“Sebab itu kita lihat ada elemen seperti ia dilakukan secara berkumpulan melibatkan jenayah dianggap serius… kalau pemerdagangan orang itu seriuslah, kemudian ia memberi keuntungan dari segi material, kewangan, kuasa atau pengaruh.

“Jadi, ia sesuai untuk kita gunakan Seksyen 130V Kanun Keseksaan bagi membolehkan selepas tamat tempoh reman, kita guna pakai Sosma,” katanya pada sesi penggulungan perbahasan sesi Penerangan Menteri mengenai isu GISBH di Dewan Rakyat semalam.

Beliau juga mendedahkan wang hasil kutipan ahli GISBH dimasukkan ke dalam akaun peribadi lembaga pengarah syarikat itu yang antaranya digunakan untuk membeli pelbagai aset secara tunai.

Sebelum ini, pakar kewangan menyifatkan tindakan SOSMA sangat layak dikenakan terhadap Ahli Lembaga Pengarah (BOD) GISBH kerana terlibat dalam teknik ‘Smurfing’ yang merupakan antara aktiviti dalam pengubahan wang haram.

Tiada ulasan: