"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

3 kanak-kanak maut, MPV terjunam dalam sungai

Bernama

Kejadian yang berlaku di Kampung Awat-Awat di Sundar, Sarawak itu menyebabkan seorang lagi kanak-kanak berusia sembilan tahun kritikal.

Kejadian dipercayai berlaku selepas kereta Perodua Alza yang dipandu seorang lelaki dan membawa 10 penumpang itu terjunam ke dalam sungai sebelum karam. (Gambar JBPM)
LAWAS: Tiga kanak-kanak maut manakala enam lagi selamat selepas sebuah kereta Perodua Alza yang dipandu seorang lelaki terjunam ke dalam sungai di Kampung Awat-Awat, Jalan Awat-Awat, Sundar, tengah hari tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata mangsa, Mohamad Nazran Awang Matasan, 10, Mohd Fayard Mohd Azmi, 5, dan Eryna Akifa Imani Zukri, 8, dilaporkan meninggal dunia semasa diberikan rawatan di Hospital Lawas.

Beliau berkata seorang lagi kanak-kanak perempuan, Madieenatul Munawarah Mohd Azmi, 9, dikejarkan ke Hospital Miri untuk rawatan lanjut dan dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.

“Kenderaan tersebut dinaiki 10 orang dengan lapan daripadanya pelajar Sekolah Kebangsaan Agama (MIS) Lawas manakala seorang kanak-kanak berusia 5 tahun merupakan anak kepada pemandu berusia 38 tahun itu.

Enam daripada mereka termasuk pemandu berjaya menyelamatkan diri selepas lelaki itu bertindak membuka pintu bonet bahagian belakang kereta. Tiga kanak-kanak yang terperangkap di dalam kenderaan yang tenggelam itu telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum dihantar ke Klinik Kesihatan Sundar, Lawas, katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata panggilan berhubung kejadian itu diterima pada 1.15 tengah hari dan tujuh anggota dengan satu jentera dari Balai Bomba Lawas digerakkan ke lokasi.

Sementara itu, Ketua Polis Lawas Liong Tindan berkata polis menahan pemandu kereta Perodua Alza tersebut untuk siasatan.

Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kenderaan tersebut yang bergerak dari arah Pekan Sundar menuju ke Kampung Awat-Awat hilang kawalan dan terbabas ke sebelah kiri jalan sebelum memasuki kawasan paya bakau berair, katanya.

Beliau berkata lelaki yang yang bekerja sebagai nelayan itu disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau membahayakan hingga menyebabkan kematian.

Tiada ulasan: