"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

EAIC: Pegawai imigresen dera tahanan Rohingya

Malaysiakini 

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) hari ini mengesahkan terdapat unsur kekerasan melampau serta penderaan fizikal dan mental ke atas tahanan etnik Rohingya di Depot Imigresen Sementara Bidor (DISB).

EAIC dalam kenyataan memaklumkan, penemuan itu adalah hasil siasatan pihaknya mengenai insiden 131 tahanan Rohingya yang melarikan diri dari depot berkenaan pada 1 Februari lalu.

“Siasatan mendapati bahawa kekerasan dan penderaan terhadap tahanan etnik Rohingya telah bermula dari tahun 2020 hingga 2021 ketika mereka ditempatkan di Kem Wawasan Langkawi, sebelum dipindahkan ke beberapa depot imigresen, termasuk DISB.

“Beberapa pegawai JIM di DISB, termasuk dua orang pegawai yang pernah bertugas di Kem Wawasan Langkawi sebelum ditukarkan ke DISB, didapati telah melakukan kekerasan yang melampau serta penderaan fizikal dan mental terhadap tahanan etnik Rohingya sehingga mengakibatkan kecederaan kepada mereka,” kata Unit Komunikasi Korporat, EAIC, menerusi satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, EAIC memutuskan untuk merujuk syor hukuman terhadap pegawai-pegawai yang terlibat dan mencadangkan penambahbaikan infrastruktur depot tahanan.

EAIC juga telah membuat laporan polis mengenai isu kekerasan dan penderaan terhadap tahanan etnik Rohingya itu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Pada kejadian pada Februari lalu, seramai 132 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang semua mereka etnik Rohingya ditahan di kem di Bidor yang di bawah seliaan JIM.

Bagaimanapun, seorang daripada tahanan itu dilaporkan maut dalam kemalangan di KM335 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Bidor.

Selain itu, EAIC berkata, siasatan mendapati pegawai imigresen dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang bertugas di kem tersebut juga tidak peka terhadap keadaan sekeliling.

“Bangunan DISB yang merupakan bekas Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), mempunyai kelemahan infrastruktur yang tidak memenuhi standard yang diperlukan untuk berfungsi sebagai depot tahanan.

“Pegawai kanan dan penyelia di kem itu juga gagal memantau dan bertindak untuk mengawal keadaan semasa insiden tersebut,” kata EAIC lagi.

Tiada ulasan: