AFP

PASUKAN perkhidmatan kecemasan menyelamatkan mangsa di kemalangan kereta api berkelajuan tinggi, kira-kira 150 km di selatan Madrid, antara Urda dan Los Yebenes di wilayah Toledo, Sepanyol. FOTO Javier Soriano/ AFP.
Urda, Sepanyol: Perlanggaran dua kereta api berkelajuan tinggi di selatan Madrid hari ini mengorbankan 31 orang dan mencederakan 80 yang lain.
Pihak berkuasa wilayah memaklumkan angka korban mungkin meningkat dengan kejadian itu yang insiden kedua berlaku di Sepanyol tahun ini.
Wartawan AFP yang berada di lokasi kejadian di wilayah tengah Castilla-La Mancha melihat sebuah kereta api tersangkut pada kereta api yang lain, dengan beberapa gerabak terbalik dan timbunan serpihan logam berselerak di tepi tebing landasan.
Berpuluh kenderaan perkhidmatan kecemasan dilihat keluar masuk dari lokasi kejadian, manakala helikopter berlegar di ruang udara ketika operasi mencari mangsa yang terselamat dijalankan seberapa pantas yang mungkin.
Seorang jurucakap kerajaan Castilla-La Mancha memberitahu AFP bahawa sekurang-kurangnya 31 orang terkorban dan 80 lagi mengalami kecederaan.
Ketua wilayah Castilla-La Mancha, Emiliano Garcia-Page memberitahu pemberita bahawa jumlah mangsa mungkin bertambah kerana "pihak penyelamat masih belum dapat mencapai bahagian bawah gerabak tersebut."
Pengendali kereta api negara, Renfe mengesahkan dalam satu kenyataan bahawa laluan utama kereta api berkelajuan tinggi dari Madrid ke selatan Sepanyol telah digantung selepas salah satu perkhidmatannya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta api milik syarikat swasta Sepanyol, Iryo.
Seorang jurucakap perkhidmatan kecemasan Sepanyol memberitahu AFP bahawa perlanggaran itu berlaku kira-kira 9.00 pagi waktu tempatan (0800 GMT) di perbandaran Urda yang terletak kira-kira 130 kilometer di selatan Madrid.
Kemalangan itu berlaku sebulan sebelum Perdana Menteri Pedro Sanchez daripada Parti Sosialis, yang sebelum ini menerima kritikan hebat susulan satu bencana lain pada tahun ini, berusaha untuk mengubah sentimen tinjauan pendapat yang tidak memihak kepadanya, serta melanjutkan tempoh pemerintahan beliau selama lapan tahun dalam pilihan raya umum awal pada 29 November.
Menerusi platform X, Sanchez menyatakan beliau terkejut dengan kemalangan tersebut dan menyampaikan rasa kasih, solidariti, serta sokongannya kepada semua mangsa dan keluarga mereka.
Beliau membatalkan penyertaannya dalam satu sidang kemuncak mengenai obesiti di Madrid sejurus berita itu tersebar, manakala Parti Sosialis pimpinannya menggantung semua aktiviti kempen.
Ucapan takziah diterima dari seluruh Sepanyol dan Eropah. Pihak istana Sepanyol, melalui platform X, menyatakan rasa terkejut dan bimbang terhadap kemalangan itu, serta menzahirkan sokongan kepada mangsa, orang tersayang mereka dan pasukan perkhidmatan kecemasan.
Seorang jurucakap Kesatuan Eropah (EU) menyatakan bahawa blok tersebut bersedia untuk membantu Sepanyol jika diperlukan, manakala Ketua Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen berkata, "Eropah turut berdukacita bersama mangsa susulan berita yang amat menyedihkan ini."
Rangkaian kereta api berkelajuan tinggi Sepanyol menerima pelaburan besar sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sekali gus berkembang menjadi rangkaian kedua terbesar di dunia selepas China dan menjadi kebanggaan negara itu.
Bagaimanapun, kemalangan hari ini berlaku selepas insiden pertembungan dua kereta api berkelajuan tinggi berhampiran perkampungan Adamuz di selatan Sepanyol pada Januari lalu yang mengorbankan 46 nyawa.
Kedua-dua kemalangan itu berlaku di laluan yang menghubungkan Madrid dengan bandar Seville di selatan Sepanyol.
Laluan berkenaan merupakan antara laluan paling sibuk, malah menjadi laluan kereta api berkelajuan tinggi pertama dibuka di Sepanyol pada 1992, bersempena dengan pameran dunia (ekspo) di Seville.
Pada 2013, Sepanyol berdepan kemalangan kereta api paling dahsyat apabila sebuah kereta api tergelincir di selekoh landasan berhampiran bandar Santiago de Compostela, di barat laut negara itu, mengorbankan 80 orang.
-hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan