Kumaran Rajamoney
IPOH: Polis menahan tiga remaja lelaki tempatan berusia 19 tahun bagi membantu siasatan sembilan kes khianat membabitkan perbuatan menyimbah cat dan membaling botol petrol berapi di lima negeri.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, tangkapan itu dibuat dalam beberapa serbuan berasingan di Pulau Pinang, Khamis lalu, sekali gus membawa kepada kejayaan menumpaskan kumpulan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket pinjaman wang tidak berlesen atau Along.
Beliau berkata, kes yang berjaya diselesaikan itu membabitkan dua kejadian di Perak, tiga di Kedah, dua di Johor serta masing-masing satu di Pulau Pinang dan Selangor.
Katanya, operasi khas berkenaan digerakkan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping susulan dua kejadian khianat yang dilaporkan berlaku di daerah itu.
“Kes pertama dilaporkan pada 19 September lalu di Taman Pura Jaya, Simpang, apabila dua lelaki menyimbah cat merah dan membaling botol petrol berapi ke arah rumah mangsa.
“Kes kedua pula berlaku pada 10 Oktober lalu di Taman Seri Larut, Simpang, membabitkan perbuatan menyimbah cat merah pada rumah mangsa dan jirannya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini, hari ini.
Mohd Alwi berkata, berdasarkan maklumat risikan, polis melancarkan serbuan di tiga lokasi berasingan di Pulau Pinang pada 22 Oktober lalu, antara jam 5 petang hingga 9 malam.
Suspek pertama, seorang pelajar kolej, ditahan di Tanjong Bungah bersama sebuah kereta Proton X70, manakala suspek kedua yang bekerja sebagai penjaga stor ditahan di Taman Sri Rambai, Bukit Mertajam, bersama sebuah Nissan Teana.
Suspek ketiga yang juga pelajar kolej pula ditahan di Taman Machang Bubuk bersama sebuah kereta Honda City.
“Hasil pemeriksaan mendapati ketiga-tiga suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.
Siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek saling mengenali dan dipercayai bergerak ke beberapa negeri untuk melaksanakan tugasan khianat selepas menerima arahan menerusi aplikasi WhatsApp daripada individu tidak dikenali.
Mereka dipercayai menerima bayaran antara RM500 hingga RM1,000 bagi setiap tugasan yang diselesaikan.
Berdasarkan siasatan, pergerakan kumpulan itu meliputi beberapa lokasi di Selangor, Negeri Sembilan dan Johor, termasuk Sungai Way, Jempol, Permas Jaya, Kangkar Pulai serta Seremban.
Polis kini giat mengesan seorang lagi rakan suspek yang masih bebas, selain memburu dalang utama yang dipercayai mengarahkan kegiatan berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan bagi kesalahan khianat dan Seksyen 435 kanun sama berkaitan khianat menggunakan api.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan