"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

UBN Najib Altantuya: KWSP beri pinjaman RM5 bilion kepada Prokhas dipersoal

KUALA LUMPUR: PAS mempersoalkan tindakan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang bersetuju untuk memberikan pinjaman sebanyak RM5 bilion kepada Prokhas Sdn Bhd dan mendesak kerajaan mendedahkan siapa di sebalik agensi yang ditubuhkan untuk membantu syarikat-syarikat tempatan.

Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar menegaskan sudah banyak agensi kerajaan sebelum ini diberikan pinjaman dengan menggunakan wang rakyat tetapi akhirnya ia berkesudahan dengan kerugian.

"Untuk apa Prokhas diberikan pinjaman dengan jumlah yang besar sedangkan mereka hanya ditubuhkan untuk memberikan jaminan kepada syarikat yang mahu mendapatkan pinjaman bank.

"Prokhas bukan memberikan pinjaman sebaliknya hanya memberikan jaminan dan bila mereka memperolehi pinjaman berjumlah RM5 bilion dari KWSP ia menimbulkan keraguan, siapa dibelakang syarikat ini?" soal beliau.

PAS, tegas beliau, bimbang jika terdapat mana-mana pihak yang berkepentingan berada dibelakang agensi-agensi seperti Prokhas dan menggunakan kedudukan tersebut untuk merompak wang rakyat yang banyak terkumpul di KWSP.

Mahfuz juga menegaskan, mendedahkan siapa dibelakang Prokhas dan untuk apa pinjaman berjumlah RM5 bilion diberikan oleh KWSP kepada rakyat perlu dilakukan kerana wang yang diberikan itu diperolehi menerusi caruman wang rakyat dan tidak sepatutnya disalahgunakan untuk kepentingan pihak-pihak tertentu semata-mata.

The Malaysian Reserve, sebuah akhbar elektronik pada 28 Julai lalu mendedahkan KWSP bersedia untuk memberikan pinjaman berjumlah RM5 bilion kepada Prokhas Sdn Bhd.

Prokhas, agensi kerajaan yang dibawah Kementerian Kewangan, ditubuhkan untuk menyediakan Skim Jaminan Modal dan Skim Pinjaman Pengstrukturan Industri ketika kerajaan mengumumkan pakej rangsangan ekonomi pertama 2008.

Pada tahun 2008, syarikat Valuecap telah diberikan RM5 bilion wang KWSP untuk membeli saham-saham dibawah nilai dan sehingga kini wang rakyat tersebut masih belum dipulangkan.

UBN Najib Altantuya: Hentikan penglipurlara tujuh wasiat raja Melayu

Abdul Aziz Mustafa
KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Hrkh) - Hentikan penglipurlara mengenai tujuh wasiat raja-raja Melayu selagi tidak ada keberanian menuntut institusi-institusi Melayu dibebaskan dari kekuasaan Perdana Menteri, tegas Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

"Membangkitkan perkara itu hanya menjadi bahan gelak ketawa sahaja jika tidak berani bersuara sepatah pun supaya institusi-institusi Melayu dibebaskan dari kekuasaan Perdana Menteri.

"Kalau benar mahu menghentikan rasa tidak puas hati orang-orang Melayu, tuntut supaya peneraju-peneraju institusi-institusi yang dilihat sebagai institusi orang-orang Melayu seperti Mara, Tabung Haji dan Amanah Saham Bumiputera dilantik sendiri oleh Yang di-Pertuan Agong dan bertanggungjawab secara langsung kepada Jawatankuasa Parlimen," katanya.

Pihak yang membangkitkan penglipurlara tersebut hakikatnya melakukan kerja sia-sia kerana setelah 52 tahun Umno menerajui pemerintahan negara ini, kata Mahfuz, ketujuh-tujuh wasiat tersebut telah dicabuli habis-habisan.

"Hanya Rejimen Askar Melayu sahaja yang boleh dianggap masih berbaki ciri-ciri asal," kata Ahli Parlimen Pokok Sena.

Menurut beliau, Islam yang diisytiharkan sebagai agama persekutuan pun diperlecehkan.

"Siapa boleh melupakan kenyataan (Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Datuk Seri) Najib (Tun Razak) terhadap Islam?" kata Mahfuz.

Menurut beliau, pada 20 April 1983, Najib memberitahu wartawan bahawa "negara akan huru-hara sekiranya undang-undang Islam dilaksanakan".

Selepas itu, katanya lagi, pada 20 April 1992, Najib sekali lagi memberitahu wartawan bahawa "kerajaan Kelantan harus dipertanggungjawabkan jika berlaku huru-hara, ketidakstabilan politik, perpecahan di kalangan umat Islam dan kegelisahan rakyat apabila hukum hudud dilaksanakan di negeri itu.

"Rakyat harus menyoal perlaksanaan hukum itu menguntungkan atau menyebabkan perpecahan, pertentangan dan ketidakstabilan politik.

"Tidak semua negara Islam mengamalkan hukum hudud bahkan ada negara Islam lebih makmur tanpa hukum itu".

Mahfuz mengingatkan, kalau ajaran Islam yang paling tinggi di hati orang-orang Melayu pun dihina, tidak perlu ada sebarang percubaan untuk membuai orang-orang Melayu dengan isu-isu tanah rezab Melayu, Bahasa Melayu dan kedudukan istimewa orang Melayu.

"Tidak sedarkah pihak berkenaan bahawa di bawah pemerintahan Umno selama 52 tahun hampir 44 peratus tanah rezab Melayu telah pupus di mana tiga juta hektar tanah rezab Melayu pada tahun 1957 mengecil menjadi 1.7 juta hektar pada tahun 1995?

"Itu belum lagi kita bangkitkan hartanah orang-orang Melayu yang pupus teruk terutama di kawasan bandar," katanya.

Kepada Mahfuz, tindakan membangkitkan perkara itu tidak lebih dari sekadar mengulang-ulang harapan palsu kepada orang-orang Melayu.

"Lebih baik bercakap tentang gerakan bersama untuk menuntut usaha intensif bagi mewujudkan pusat-pusat pengajian termasuk pusat-pusat tinggi kepada orang-orang Melayu," katanya.

UBN Najib Altantuya: Inilah UMNO