"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

1MDB simpul mati politik Najib

AZAMIN AMIN
TIADA apa lagi selindung, semuanya sudah menyerang secara terbuka. Bahangnya, tidak mampu ditepis lagi dan semua sudah bersiap sedia untuk cabut lari. Bahana 1MDB bakal menjerut Perdana Menteri dan simpul mati karier politik Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Jet kerajaan yang berpusing sana-sini, bil-bil elektrik dan air kediaman yang tinggi, perbelanjaan boros ke luar negara, mengumpul harta kekayaan, tabiat beli belah isteri, kisah ahli perniagaan dengan hutang Bank yang telah dibukukan, penganalisis politik yang dibebaskan daripada kes pembunuhan wanita Mongolia dan parti komponen MIC yang sudah berbelah bahagi, semuanya semak dan serabut di era Najib.

Najib kini berhadapan dengan beban yang mencucuk mata dan menyakitkan kepala -1MDB, seperti tiada seorang pun yang tahan menanggung, sama ada untuk membela atau berhujah tentang beban hutang RM42 billion.

Jabatan Audit Negara sudah memulakan siasatan terhadap 1MDB) yang didakwa menanggung beban hutang besar, kata Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang.

“Kami akan panggil (Najib) jika ada keperluan,” kata Ambrin.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mendedahkan bahawa sebuah pasukan petugas khas dibentuk bagi menyiasat perkara berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) termasuklah Perdana Menteri.

Pasukan itu akan melibatkan pihak polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pejabat Peguam Negara dan disiasat bawah Kanun Keseksaan.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengeluarkan kenyataan berani selepas Pejabat Perdana Menteri menyatakan kabinet yakin tiada salah laku pada syarikat itu.

Muhyidin menyatakan PAC boleh menyiasat kontroversi 1MDB tanpa perlu menunggu hasil audit Jabatan Audit Negara.

Beliau juga mengingatkan bahawa kerajaan tidak bersedia menyelamatkan (bailout) syarikat pelaburan itu yang berhutang RM42 bilion dan juga tidak bersetuju dengan penjualan tanah projek-projek Tun Razak Exchange (TRX) dan Bandar Malaysia untuk melangsaikan hutang 1MDB.

Sekumpulan pemimpin Umno bahagian menyatakan sokongan kepada presiden mereka berhubung isu 1MDB dalam satu pertemuan di bangunan Umno baru-baru ini sebaliknya Muhyiddin pula tidak hadir. Ini termasuklah sebahagian ketua-ketua bahagian Johor dan Sabah, dianggar kesemua yang tidak hadir berjumlah 31 pemimpin Umno bahagian. Tanda protes Mahathir Sebelum ini, bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad secara terangterangan tidak menyokong Najib dan 1MDB. “Dan satu daripada banyak sebabnya ialah, saya tak sokong penubuhan 1MDB,” tulis Dr Mahathir dalam blog popularnya chedet.cc “Wang yang dipinjam tidak boleh dianggap kekayaan. Dan ada banyak perkara tentang wang 1MDB yang se - memangnya salah. Kerajaan tidak sepatutnya terlibat dalam membeli dan menjual saham untuk membuat duit bagi dirinya sendiri. “Saya tidak setuju dengan 1MDB dan akan terus mengkritiknya serta apa saja yang saya rasakan bahaya untuk urus tadbir yang baik negara ini,” katanya. Laman web pemberi maklumat Sarawak Report mendedahkan memiliki akses kepada ribuan dokumen dan e-mel yang berkaitan dengan transaksi kontroversi 1MDB, termasuk perjanjian meragukan dengan sebuah syarikat minyak yang tidak diketahui ramai, PetroSaudi International pada 2009. Turut menjadi persoalan dalam kes 1MDB, peranan dimainkan usahawan terkenal Low Taek Jho, juga dikenali sebagai Jho Low, yang dikatakan mempunyai kepentingan dalam beberapa pelaburan yang dijalankan 1MDB. Namanya muncul di media massa apabila intim dengan gadis jutawan Paris Hilton menonton bola sepak Piala Dunia FIFA 2010 di Stadium Johannesburg .

Pada Mei 2010, akhbar New York Post melaporkan Taek Jho Low (28 tahun) didakwa membelanjakan AS$50,000 semalaman untuk berhibur dan menghadiahkan 200 botol arak berjenama berburnilai AS$1,000 sebotol kepada pelakon Hollywood, Megan Fox.

Jutawan muda penuh kontroversi, Jho Low, mengakui beliau merupakan kawan rapat kepada isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

“Rosmah bukan mak angkat saya. Beliau adalah kawan baik saya,” demikian jawapan beliau kepada akhbar berbahasa Cina, Kwong Wah Yit Poh, ketika ditanya hubungannya dengan keluarga Perdana Menteri, Najib Razak.

UMNO, PAS Bentuk Kerajaan Perpaduan Rabu Ini – Kit Siang

Kuala Lumpur: Penasihat DAP, Lim Kit Siang mendakwa pembentukan kerajaan perpaduan diantara PAS dan UMNO akan menjadi kenyataan dalam tempoh empat hari lagi.
Menurutnya tindakan itu berdasarkan kepada sokongan yang bakal diberikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) kepada kerajaan negeri pimpinan PAS pada sidang DUN Kelantan pada Rabu ini melalui pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (undang-undang hudud).

“MCA dan Gerakan juga berharap komplot itu berjaya supaya pakatan rakyat musnah. Ini adalah senario politik yang rakyat Malaysia akan hadapi dalam beberapa hari lagi,” dakwanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob hari ini dilaporkan berharap ADUN BN akan menyokong pindaan kepada Enakmen Kanun Jenayah Syariah II pada Rabu ini.

Ahmad Yakob dipetik berkata, sokongan ADUN BN amat diperlukan oleh PAS bagi memastikan kelancaran perjalanan untuk melaksanakan undang-undang tersebut.

Kata beliau, perjuangan pelaksanaan hukum tersebut perlu diteruskan dan ia merupakan harapan seluruh rakyat Kelantan yang mahukan kadar jenayah dapat dikurangkan dengan terlaksananya hukum Islam.

Kit Siang dalam pada itu mendakwa pihak dalam PAS yang mahukan kerajaan perpaduan berjaya melaksanakan rancangan itu berikutan kematian Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 12 Februari lalu.

“Kematian Nik Abdul Aziz adalah peluang terbaik untuk pembentukan kerajaan perpaduan,” katanya.

DAP sebelum ini memberi amaran PAS tidak lagi akan dilihat sebagai sebahagian daripada pakatan rakyat jika parti itu meneruskan pembentangan rang undang-undang hudud di DUN Kelantan. 
- SUARA TV

Inilah jadinya bila sudah gemuruh: Pengantin 'nikahkan' juru nikah

NIK AMIRULMU’MIN NIK MIN
Pengantin 'nikahkan' juru nikah
Pengantin 'nikahkan' juru nikah Kerana terlalu gementar, Rahmat ‘nikahkan’ juru nikah ketika menjawab lafaz akad nikahnya.
KUANTAN - Mungkin kerana terlalu gementar ketika menjawab lafaz akad nikah, salah seorang pengantin lelaki tersasul ‘menikahkan’ kembali juru nikah hingga mencuit hati tetamu termasuk orang kenamaan yang hadir.

Namun selepas lima kali mencuba, seorang saudara baharu Orang Asli, Rahmat Awang, 27 dari Pekan selamat diijabkabulkan dengan pasangannya, Rohani Samat, 21 dari Kampung Orang Asli Sungai Mas, Sungai Lembing dekat sini, kelmarin.

Rahmat dan isterinya antara lima pasangan pengantin Orang Asli yang diraikan dalam majlis pernikahan sempena perasmian Surau Al- Falah, Kampung Sungai Mas dekat sini anjuran Unit Dakwah, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip).

Turut diraikan pasangan Nasrizan Ngah 20 dan pasangan, Kamariah Misi, 19, Ali Batas, 20 dan isteri, Hamidah Putih, 23, Najib Alip, 23 dan pasangannya Luma Putih, 27 serta seorang seorang duda bersama pasangannya.

Majlis akad nikah pasangan tersebut dijalankan Ketua Penolong Kadi Daerah Kuantan, Rosli Mamat dan Penolong Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk Mukim Ulu Kuantan, Mohd Jaya Rani disaksikan Timbalan Yang Dipetua Muip, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan, Pegawai Daerah Kuantan, Datuk Norhayad Ahmad dan Adun Sungai Lembing, Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah.

Rata-rata pengantin terpaksa menjawab lebih sekali kecuali Najib Alip yang lebih berkeyakinan dengan sekali lafaz.

Rahmat ketika ditemui berkata, dia amat gementar ketika itu memandangkan dikelilingi ramai tetamu termasuk orang kenamaan.

Menurutnya, pada mulanya dia yakin dapat menjawab dengan lancar memandangkan persediaan untuk upacara itu dilakukan sejak pagi.

“Tapi bila berada di hadapan juru nikah, perasaan mula berkecamuk dan agak gementar namun atas bantuan juru nikah dan sokongan rakan, saya akhirnya berjaya menjawab biarpun terpaksa mengulanginya sebanyak lima kali, katanya yang memeluk Islam sejak 2012.

Dia yang bekerja sendiri tidak menyangka rancangannya untuk berkahwin dengan isterinya, Rohani Samat dari Kampung Sungai Mas secara kecil-kecilan bertukar menjadi majlis yang ‘luar biasa’ baginya.

Sementara itu, Timbalan Yang Dipetua Muip, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata, majlis meraikan pengantin itu dirancang sebagai salah satu pengisian dalam majlis perasmian surau baharu kampung itu, kelmarin.

Menurutnya, usaha itu juga sebahagian daripada usaha dakwah dalam mendekatkan saudara baharu kepada Islam selain memberikan pendedahan mengenai keindahan Islam kepada masyarakat Orang Asli yang bukan beragama Islam.

“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar apabila kelima-lima pasangan ini selamat diijabkabulkan malah ramai dari kalangan penduduk yang bukan Islam turut hadir memeriahkan majlis,” katanya.