"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Nama Islamku Tay Eng Soon

Anne Muhammad dan Mariam Nizar

Hidayah Allah kepada umatnya datang dalam pelbagai bentuk.

Bagi seorang pemuda berusia 32 tahun kelahiran Kota Kinabalu, jendela imannya dikuak ketika mula-mula masuk ke gerbang institusi pengajian tinggi.

Tay Eng Soon mengakui hatinya diketuk untuk mempelajari Islam pada usia 18 tahun apabila melihat rakan Melayu di tempat pengajiannya berpuasa di bulan Ramadan kira-kira 14 tahun lalu.

“Saya mula bertanya kepada diri saya kenapa orang Islam berpuasa dan kenapa perlu puasa. Mereka (rakan saya) cerita mengenai berpuasa dan selepas itu saya minat untuk cuba berpuasa dan ikut rakan-rakan berpuasa.

“Saya tanya mereka juga tentang Islam, kenapa perlu solat, ketika itu rakan-rakan saya sudi jawab soalan saya dan cerita tentang Islam, tentang nabi-nabi,” katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini baru-baru ini.

Ketika ditemui, Tay sedang mengikuti Kelas Fardu Ain Anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS) di Masjid Bukit Indah Ampang.

Kahwini gadis Melayu

Tay mengambil masa selama lebih tujuh tahun untuk mendalami Islam sehingga hatinya sendiri mengakui bahawa Allah merupakan tuhan yang esa.

Namun, beliau tidak tahu bilakah masa sesuai untuknya memeluk agama itu sehinggalah seorang ustaz bertanya kepadanya.

Akhirnya dorongan itu menjadi bertambah kuat apabila hatinya terpaut dengan seorang gadis Melayu.

"Isteri saya Melayu, jadi kalau nak kahwin orang Islam, kena masuk Islam.

“Tapi masa tu pun saya ragu-ragu lagi sebab saya tahu keluarga saya tidak akan suka, akhirnya ibu mentua saya tanya, jika mahu teruskan perkahwinan saya memang kena masuk Islam.

“Jadi saya cakap dalam diri saya, inilah masanya untuk saya teruskan perjalanan hidup dan menjadi seorang Islam, saya lafazkan syahadah pada Julai 2012, sebelum Ramadan,” katanya terharu.

Namun di sebalik kegembiraannya, Tay berhadapan halangan keluarga yang tidak merestui tindakannya memeluk Islam.

Ibu kepada Tay yang terguris dengan tindakannya pernah mahu menggadaikan semua harta benda asalkan anak lelaki sulungnya itu kembali ke agama asal.

“Bila keluarga saya dapat tahu, mak saya menangis, meraung. Ayah saya marah kerana saya tidak berbincang. Tapi saya tahu kalau saya bagitahu dan bincang, saya tidak akan dapat masuk Islam,” katanya.

Menurut Tay, antara kebimbangan terbesar ibu bapanya jika mereka meninggal dunia kelak, tiada siapa akan melakukan upacara ritual kematian memandangkan dia merupakan anak sulung.

Tak tukar nama Melayu

Tay berkata, dia tidak menukar namanya selepas memeluk Islam antara lain kerana mahu menjaga hati orang tuanya yang beranggapan “masuk Islam seperti masuk Melayu”.

“Ya. Saya boleh cakap begitu. Reaksi ibu bapa saya, habislah saya akan jadi orang Melayu, sampai sekarang pun macam tu. (Tapi) semuanya perlu masa,” katanya.

Ditanya bagaimana merayakan sambutan Tahun Baru Cina, Tay berkata pada tahun pertama agak kekok kerana makan di meja berasingan.

"Mula-mula rasa kekok, sekarang saya dah ok,” katanya.

Ketika Ramadan menjelma saban tahun, Tay berkata, inilah kegembiraan paling nyata yang dicari selama ini.

Beliau juga berharap reda Allah memayungi perjalanan kehidupannya.

Pemimpin 6 parti menghadap Sultan Perak

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah menitahkan pemimpin utama dari enam parti menghadap baginda berhubung isu penggunaan masjid dan surau untuk aktiviti politik di negeri itu.

Mereka yang dipanggil adalah dari Bersatu, Amanah, PKR, DAP, Umno dan PAS, lapor Berita Harian.

Mereka termasuk Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu yang juga pengerusi Bersatu Perak, Pengerusi Amanah Perak, Asmuni Awi, Pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dan Penasihat DAP Perak Ngeh Koo Ham yang juga speaker Dewan Undangan Negeri (DUN).

Di pihak pembangkang, pemimpin yang dipanggil adalah Ketua Perhubungan Umno Perak, Saarani Mohamad dan Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria.

Laporan itu, memetik sumber, berkata semua pemimpin berkenaan menghadap Sultan Nazrin di Istana Iskandariah di Kuala Kangsar pada jam 4 petang tadi.

Mereka dipanggil berhubung isu penggunaan masjid dan surau serta kemudahannya dalam aktiviti atau program berunsur kepartian ketika bulan Ramadan, termasuk menggunakan logo parti.

Terdahulu hari ini, ketua Pemuda Amanah Perak, Hasnul Zakarnain Abdul Munaim mendakwa mengesan sekurang-kurangnya empat program menggunakan nama parti pembangkang di masjid dan surau di negeri itu, baru-baru ini.

'Biarlah Najib ketawa sebelum masuk penjara'

Mana-mana pemimpin Pakatan Harapan (PH) tidak perlu membuang masa berdebat dengan bekas perdana menteri Najib Razak, kata setiausaha akhbar menteri pertahanan Amin Shah Iskandar.

Kenyataan itu susulan cadangan Najib semalam agar Mohamad Sabu menggantikan Lim Kit Siang untuk berdebat dengannya.

"Najib kini berdepan dengan banyak kes mahkamah berkait skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Biarlah Najib fokus terhadap kes mahkamah dihadapinya dan bermain dengan media sosial yang menjadi kegemaran terbarunya.

"Lagipun tidak lama lagi Najib akan 'berehat' dengan lama dalam penjara. Biarlah Najib terus ketawa sebelum masuk penjara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam satu hantaran di Facebook semalam, Najib berkata Mohamad dapat menggantikan Lim.

"Kalau masih bertegas (mahu berdebat), Lim patut arahkan Mat Sabu untuk ganti tempat dia. Setahu saya Mat Sabu orang Melayu," kata Najib.

Beliau merujuk kenyataan Presiden PKR Anwar Ibrahim yang menyifatkan keputusan Lim menarik diri sebagai "langkah bijak" kerana ia boleh mengelakkan ketegangan kaum.