"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PDRM laksana operasi ambang tahun baharu besar-besaran seluruh negara

Bharianonline

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) melaksanakan operasi bersepadu ambang tahun baharu secara besar-besaran di seluruh negara membabitkan semua kontinjen serta daerah bermula jam 8 malam hingga jam 5 pagi.

Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri, berkata operasi itu membabitkan 4,378 pegawai dan anggota PDRM selain pelbagai agensi penguat kuasa seperti Jabatan Pengangkutan Jalan, Agensi Antidadah Kebangsaan, Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Imigresen Malaysia.

"Operasi bertujuan menguatkuasakan undang-undang dan peraturan lalu lintas dengan memantau pergerakan aliran trafik di lokasi tumpuan selain membanteras aktiviti samseng jalanan serta mencegah pemanduan di bawah pengaruh alkohol atau dadah yang boleh mendatangkan risiko kemalangan atau halangan di jalan raya.

"Konsep penugasan terbahagi kepada dua iaitu kawalan lalu lintas bagi kelancaran aliran trafik sempena sambutan tahun baharu dan operasi penguatkuasaan ambang tahun baharu," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, terdapat 17 lokasi sambutan ambang tahun baharu di Lembah Klang iaitu 10 di Kuala Lumpur dan selebihnya di Selangor.

"Walaupun tiada sambutan secara rasmi diadakan di Dataran Merdeka dan Kuala Lumpur City Centre (KLCC), PDRM turut meletakkan petugas bagi memantau keselamatan serta ketenteraman awam di lokasi tersebut selain membantu melancarkan aliran trafik sekiranya berlaku kesesakan yang ketara.

"PDRM khususnya JSPT meminta semua pengguna jalan raya agar sentiasa patuhi peraturan di jalan raya, bersikap toleransi, berhemah, berhati-hati dan fokus kepada pemanduan.

"Patuhi arahan petugas yang melaksanakan penugasan di lapangan bagi memberi keselesaan kepada semua pengguna jalan raya dan orang ramai," katanya.– BERNAMA

BDS Malaysia: Bukan kami mula kempen boikot McDonald’s

Mohd Farhan Darwis
Nazari Ismail berkata, BDS Malaysia hanya menyokong kempen yang dimulakan rakyat.
KUALA LUMPUR: Sebuah gerakan yang menggalakkan pemboikotan terhadap kepentingan Israel menafikan ia memulakan kempen memboikot restoran McDonald’s di negara ini, sebaliknya mendakwa tindakan itu dimulakan rakyat Malaysia.

Pengerusi BDS Malaysia, Nazari Ismail berkata kumpulan itu sekadar menyokong usaha rakyat memboikot McDonald’s Malaysia.

“Kita tak buat kempen (gesa boikot McDonald’s Malaysia)…Kita tak mulakan, tapi kita menyokong usaha tersebut. Bukan kita mulakan, tapi kita tak bangkang,” katanya dalam perhimpunan pro-Palestin enam hari di luar Kedutaan Amerika Syarikat di sini.

Beliau berkata, McDonald’s Malaysia menyaman gerakan itu atas alasan “kita menghasut rakyat (untuk boikot) dan memfitnah dia”, sedangkan ia sekadar “endorse dan menyokong keputusan rakyat untuk memboikot McDonald’s Malaysia”.

BDS Malaysia entiti bebas terdiri daripada badan bukan kerajaan, kumpulan dan individu yang mempromosikan kebebasan, keadilan dan kesaksamaan terhadap Palestin menerusi boikot, lupus dan sekat.

Nazari berkata, pasukan guaman BDS yakin McDonald’s Malaysia tiada asas terhadap saman fitnah RM6 jutanya dan beliau hairan kenapa rangkaian restoran itu menyaman mereka.

“Kita serah kepada mahkamah,” katanya sambil menambah rakyat Malaysia akan menyokong gerakan itu dari segi kos perundangan, jika perlu.

McDonald’s Malaysia menuduh BDS memfitnah francais makanan segera itu melalui gesaannya untuk memboikot kerana dikatakan “bersubahat dengan Israel”.

Pernyataan tuntutan bertarikh 19 Dis lalu itu difailkan pemilik francais McDonald’s Malaysia, Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd.

Ia menuntut permohonan maaf tanpa syarat daripada BDS dan ganti rugi RM6 juta, termasuk RM3 juta kehilangan pendapatan, RM1.5 juta bagi pekerja diberhentikan dan RM1.5 juta untuk bahan makanan tamat tempoh.

Ia turut memohon injunksi terhadap BDS daripada gesaan memboikot. Pernyataan itu turut merujuk beberapa poster tertera logo McDonald’s Malaysia yang dikongsi BDS berkaitan syarikat didakwa “mendapat keuntungan daripada pembunuhan beramai-ramai”.

'Mencilok' punya pasal, orang lain jadi mangsa

Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
harisfadli@hmetro.com.my
Tindakan ‘mencilok’ seorang lelaki (kereta Toyota Camry putih) mengakibatkan kereta jenis Perodua Aruz hilang kawalan sebelum dirempuh lori di Lebuhraya Karak di sini kelmarin. TANGKAP layar video viral
Tindakan ‘mencilok’ seorang lelaki (kereta Toyota Camry putih) mengakibatkan kereta jenis Perodua Aruz hilang kawalan sebelum dirempuh lori di Lebuhraya Karak di sini kelmarin. TANGKAP layar video viral
Gombak: Tindakan 'mencilok' seorang lelaki yang memandu kereta jenis Toyota Camry mengakibatkan kereta jenis Perodua Aruz hilang kawalan sebelum dirempuh lori di Lebuhraya Karak di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya mengesan video tular berdurasi 33 saat memaparkan kejadian itu 3 petang tadi.

Menurutnya, kejadian berlaku jam 10.11 pagi di Kilometer 34.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) menghala Genting Sempah membabitkan tiga kenderaan.

"Mangsa lelaki tempatan berusia 26 tahun memandu kereta jenis Perodua Aruz sejurus tiba di lokasi kejadian dilanggar kereta jenis Toyota Camry.

"Toyota Camry dipandu lelaki tempatan berusia 26 tahun itu mengubah haluan dari lorong kanan ke kiri dan melanggar bahagian hadapan sebelah kanan kenderaan mangsa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pelanggaran itu menyebabkan kenderaan mangsa hilang kawalan sebelum terbabas ke lorong kiri lalu dilanggar lori dipandu seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun.

Terdahulu video berdurasi 33 saat itu tular di Facebook memaparkan sebuah Toyota Camry dan sebuah lagi kereta lain sedang 'mencilok' sebelum kemalangan itu berlaku.

Video rakaman kamera papan pemuka itu juga memaparkan kereta mangsa yang dipandu di lorong tengah hilang kawalan lalu terbabas sebelum dirempuh sebuah lori.

Mengulas lanjut Noor Ariffin berkata, mangsa tidak mengalami kecederaan dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kemalangan itu.

"Saksi kejadian atau sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Sarjan Muhammed Shahrizuan Ishak di talian 0125199419 atau bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak 036122222," katanya.