"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bunuh rakan sekerja di kebun durian, 2 warga asing ditahan

FMT Reporters
Mayat seorang lelaki warga asing ditemui di kawasan kebun durian di Jalan Air Terjun Chamang, Bentong, semalam. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA: Dua warga asing ditahan kerana dipercayai terbabit kes pembunuhan rakan sekerja mereka di kebun durian di Jalan Air Terjun Chamang, Bentong, semalam.

Ketua Polis Bentong, Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun kira-kira 5 pagi semalam.

Katanya, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Bentong dikejarkan ke lokasi kejadian dan menemui mayat seorang lelaki warga asing 29 tahun dengan beberapa kesan kecederaan pada badan.

“Kami menahan dua lelaki warga asing, iaitu seorang lelaki 26 tahun di kawasan kebun itu, manakala seorang lagi suspek 31 tahun ditahan di lokasi berhampiran, ketika cuba melarikan diri,” katanya menurut Harian Metro.

Zaiham berkata, seorang daripada suspek ditahan itu mempunyai kesan kecederaan, dipercayai akibat pergelutan.

“Kami merampas parang dan pisau dipercayai digunakan suspek dalam kejadian itu,” katanya sambil menambah siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dan mangsa adalah pekerja di kebun durian itu.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, termasuk mengenal pasti punca kejadian dan beliau meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu yang masih dalam siasatan.

Orang ramai mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Bentong, Faizal Abdullah di talian 012-4834439 atau Pusat Kawalan Daerah IPD Bentong 09-2222222 bagi membantu siasatan.

‘Berlari seperti di kerajaan atas langit’

KOSMO!

Keadaan padang Sekolah Kebangsaan Kampong Libang, Ranau, Sabah, yang berkabus tebal.

PETALING JAYA – Acara larian 4×100 meter di Sekolah Kebangsaan Kampong Libang, Ranau, Sabah, mencuri perhatian orang ramai setelah acara tersebut dijalankan di padang yang berkabus tebal seakan-akan dipenuhi awan.

Menurut sebuah hantaran tular di laman TikTok, rakaman tersebut diambil pada acara sukan tahunan sekolah berkenaan.

“Hanya di Ranau, berlari seperti di kerajaan atas langit,” katanya dalam ruangan kapsyen.

Meninjau ke ruangan komen, orang ramai menyuarakan kekaguman masing-masing terhadap keindahan suasana berkabus di sekolah tersebut.

“Kalau berkabus begini, baik saya lari balik rumah sahaja sambung tidur,” kata @bestBuddys.

“Ini masih boleh lagi. Pernah dulu kabus tebal satu meter ke hadapan sudah tidak nampak. Dengar bunyi tapak kaki kawan-kawan sahaja,” kata Johan

“Ini hanya di Sabah,” Asrinah

Kini, hantaran tersebut telah mendapat 59,700 tanda suka dan 783,400 tontonan. – KOSMO! ONLINE

Bukan senang mahu siasat Tun - Anwar

Malaysiakini

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata bukan mudah untuk menjalankan sebarang siasatan terhadap golongan kenamaan.

Justeru, beliau meminta rakyat menyokong usaha kerajaan dalam menyiasat golongan atasan termasuk individu yang bergelar Tun berhubung kecurian dana kerajaan.

“Kami akan kejar penyangak itu, saya tidak peduli ...bila kita nak ambil tindakan (ke atas golongan tersebut) rakyat marah, perdana menteri ini kasar sangat.

“Bagi saya aneh, sepatutnya kamu sokong. Bukan senang tahu, mahu siasat Tun,Tun.

"Siasat ketua kampung senang, siasat cikgu sekolah lagi senang, saya mahu siasat orang kaya yang besar-besar curi duit ingat senang ke?

“Tak senang. Kita mahu jaga negara ini, jangan bagi orang curi harta rakyat,” katanya ketika berucap di Majlis Sambutan Pesta Ponggal Kebangsaan 2024 di Dataran Majlis Perbandaran Klang @ Padang Chetty di Klang malam ini.

Pada 17 Jan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan pihaknya mengambil keterangan daripada seorang anak bekas Perdana Menteri dipercayai berhubung perniagaannya pada akhir tahun 1990-an.

Sebelum itu, isteri Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Nai’mah Abdul Khalid dan dua anaknya hadir ke ibu pejabat SPRM dipercayai bagi membantu siasatan berkaitan bekas Menteri Kewangan dan ahli perniagaan itu.

Disember lepas, SPRM menyita bangunan Menara Ilham di Kuala Lumpur dipercayai berkaitan kes penyelewengan dana negara berjumlah lebih RM2.3 bilion membabitkan seorang tokoh korporat dan bekas menteri kanan.

Dalam pada itu, Anwar mengingatkan pemimpin masyarakat India supaya tidak terbawa-bawa dengan sentimen melampau yang tidak akan menguntungkan negara.

Beliau berkata semua kaum ketika ini membuat tuntutan agar masalah diselesaikan segera dan kerajaan akan menggunakan konsep MADANI yang adil untuk semua pihak.

“Untuk menyelesaikan masalah kaum India, kita bukan sahaja memberikan peruntukan RM100 juta melalui Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) sahaja sebaliknya kita juga selesaikan melalui program lain seperti tandas sekolah, kemiskinan tegar, rumah penjawat awam dan RM30 juta melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (TEKUN).

"Saya juga meminta semua kementerian termasuk Kementerian Kewangan, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Perpaduan (Negara) untuk mengenal pasti masalah rakyat tanpa mengira kaum,” katanya.

Sementara itu, Anwar juga berkata selepas kerajaan berjaya membasmi kemiskinan tegar di Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan, beliau kini menunggu laporan lengkap dari Selangor dalam tempoh dua minggu berkenaan perkembangan sama.

"Sudah tentunya Selangor kita dapat uruskan dengan baik, dengan hasil yang baik dan boleh serta mampu selesaikan. Saya yakin Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan beres masalah kemiskinan," katanya.
- Bernama