"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dr M sedia kerjasama semula dengan Muhyiddin jika ‘kena caranya’

Faiz Zainudin

KUALA LUMPUR: Dr Mahathir Mohamad berkata beliau sedia bekerjasama semula dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin jika “kena caranya”.

“Itu kalau kena cara, ada cara, tapi tak payah saya cerita cara yang boleh saya kembali kerjasama (dengan Muhyiddin),” katanya ketika ditanya sama ada beliau sedia bekerjasama semual dengan Muhyiddin dalam program khas eksklusif bersama Astro Awani malam ini.

Katanya, jika kerjasama itu mahu dijalankan terdapat syarat yang perlu dipersetujui, namun tidak mendedahkan lanjut mengenainya.

Mahathir turut mendedahkan, ada pihak daripada kerajaan memujuk dan bertemu dengannya untuk bekerjasama dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini, tetapi beliau enggan berbuat demikian kerana ada beberapa perkara tidak dipersetujui termasuk bekerjasama dengan pemimpin Umno yang mempunyai kes mahkamah.

“Dah dibuat dah (pujuk), tetapi saya kata biar kena syaratlah. Saya masuk saja tak jadi apa. Mereka nak tonjolkan saya sebagai menyertai mereka, itu bukan caranya. Saya dapati banyak yang tak kena.

“Saya dapati gabungan itu terdapat Umno, dengan semua enam orang penjenayah semua itu. Jadi saya tak mahulah dapat sokongan daripada enam orang ini kita harus ingat kalau menang pun, enam orang ni, kalau dia pergi ke tempat lain jatuh juga kerajaan,” katanya.

Dakwa Mahathir, beliau ditawar mengetuai PN jika setuju bekerjasama.

Belanjawan 2021 mungkin lulus

Mengulas Belanjawan 2021, Mahathir tidak menolak kemungkinan ia diluluskan di Dewan Rakyat.

Namun, beliau berpendapat kerajaan perlu sedar belanjawan berjumlah RM322.5 bilion itu dilihat hanya memberi wang tanpa matlamat tepat.

Katanya, kerajaan dan Kementerian Kewangan sewajarnya mendengar dan mengambil kira pandangan Ahli Parlimen bukan kerajaan kerana mereka juga membawa suara rakyat.

“Tetapi ramai yang tidak senang hati dengan belanjawan ini kerana ia nampaknya seolah-olah satu usaha memberi wang tanpa matlamat. Kita harap kerajaan ini lebih terbuka, iaitu mereka bukan sahaja nak kita luluskan sesuatu tetapi dengar juga pendapat kita.

“Jadi kalau kerajaan berasa terhutang budi kepada rakyat, maka mereka harus terima sekurang-kurangnya sebahagian daripada teguran kita,” katanya merujuk 12 cadangan penambahbaikan diutarakan pihaknya sebelum ini untuk menambah baik Belanjawan 2021.

Tak halang Anwar jadi PM

Sementara itu, Mahathir menafikan beliau mempunyai niat untuk menghalang Presiden PKR Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri.

Katanya, Anwar sepatutnya sudah menggantikan beliau sebagai perdana menteri pada 1998, namun tidak berlaku kerana beberapa perkara tertentu termasuk dipenjara.

“Saya yang angkat Anwar Ibrahim sehingga dia dapat jadi timbalan perdana menteri akan mengganti saya jika saya letak jawatan. Tetapi ada perkara berlaku yang mana itu tak terjadi,” katanya.

Katanya, rancangan sama juga dibuat ketika beliau menjadi perdana menteri PH untuk memberi jawatan itu kepada Anwar, namun tidak kesampaian apabila kerajaan pimpinannya tumbang selepas 22 bulan.

“Tetapi dia (Anwar) cerita dekat orang, kononnya saya yang halang dia. Saya tak ada halangan. Sekarang ini kalau saya nak jadi PM, saya boleh jadi PM. Tetapi saya pegang kepada prinsip.

“Kalau sudah sampai masa saya undur, saya undur. Saya bukan nak pegang jawatan ini sampai bila-bila. Orang lain kalau nak pilih Anwar, pilih Anwarlah,” katanya.

Surat terbuka kepada 220 Ahli Parlimen

DR MUJAHID YUSOF RAWA

Negara telah memilih Demokrasi sebagai acuan dan panduan bernegara. Amalan pengasingan kuasa melalui 3 cabang pemerintahan (Parlimen, Kabinet dan Kehakiman) adalah doktrin demokrasi terpenting dalam urusan pemerintahan negara kita.

Konsep Bernegara kita merujuk kepada kuasa dalam perlembagaan melalui Institusi Raja Berperlembagaan, Demokrasi Berparlimen, Pilihanraya Bebas, Hak Kebebasan Individu dan Kehakiman yang bebas.

MP yang dilantik oleh rakyat berikrar dan bersumpah untuk mempertahankan asas-asas demokrasi ini sejurus masuk ke dewan yang mulia. Lafaz berbunyi:

Saya, ……………………………………………………………………………., setelah dipilih (atau dilantik) sebagai seorang ahli Dewan Rakyat (atau Dewan Negara) dengan sesungguhnya bersumpah (atau berikrar) bahawa saya akan dengan jujur menunaikan kewajipan-kewajipan saya sebagai yang demikian dengan segala upaya saya, bahawa saya akan menumpahkan taat setia yang sebenar kepada Malaysia, dan akan memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaannya.”

Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab MP untuk melakukan sepenuhnya seperti yang dilafazkan ‘…menumpahkan taat setia yang sebenar kepada Malaysia, dan akan memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaannya”

Krisis politik negara memerlukan 220 MP membetulinya secara demokrasi sebagaimana yang dijangkakan ketika MP menawarkan diri sebagai calon dalam pilihanraya. MP perlu selesai isu bukti majoriti Perdana Menteri hari ini sebagai pra-syarat keabsahan tugasannya untuk mengeluarkan nilai RM322b dalam bajet 2021 sebagimana termaktub dalam perlembagaan. Hal ini telah ditegaskan secara tepat oleh MP Gua Musang dalam suratnya kepada Speaker Dewan Rakyat yang diedarkan di atas meja kita.

Hanya Parlimen mampu membetuli dan memulihkan keadaan dalam krisis mandat yang telah dibeloti oleh Langkah Sheraton. Luka negara terlalu mendalam diparahkan lagi dengan krisis hilang kepercayaan terhadap institusi pemerintahan oleh rakyat, termasuklah hilang hormat terhadap institusi parlimen kita.

Janji menumpahkan taat setia kita kepada Malaysia menuntut kita membuat keputusan kritikal secara bersama untuk proses penyembuhan negara bagi kita membuang ‘badi-badi pembelotan’. Kepercayaan kepada institusi pemerintahan dan politik negara perlu kita pulihkan dan sekaligus institusi parlimen dikembalikan kewibawaannya. Kita punya masa 3 tahun sebelum pembubaran wajib dan setiap 220 anggota di kalangan kita seharusnya bersetuju membentuk Suruhanjaya Di Raja untuk tujuan penyembuhan ini.

Demokrasi kita diuji melalui fasa pendemik global ini di mana kepercayaan terhadap kerajaan semakin penting menentukan keberkesanan kerajaan menangani krisis. Begitu juga keberkesanan penyampaian yang menjadi kayu pengukur kejayaan. Kerajaan Perikatan Nasional membuktikan dirinya lemah dalam mengemudi saat krisis ini dan mana-mana kerajaan sekalipun akan terdedah kepada berbagai kelemahan dalam masa pendemik ini.

Oleh kerana itu, 220 MP perlu tangani perkara pokok masalah iaitu dengan memelihara dan melindungi demokrasi berperlembagaan supaya mana-mana kerajaan sekalipun akan dipandu atas landasan penting ini dan tidak akan melanggar asas perlembagaan.

Jangan kita hilang fokus untuk tergesa-gesa luluskan bajet atau tidak luluskan sedangkan kita gagal memelihara dan melindungi perlembagaan negara. Bajet tidak guna diluluskan jika PM hari ini gagal membuktikan dia ada majoriti dan kita 220 MP gagal mempertahankan hak asas dalam perlembagaan negara!


Penulis adalah Ahli Parlimen Parit Buntar merangkap Naib Presiden AMANAH

Pejuang tak akan sokong Belanjawan 2021

SITI NUR ZAWANI MISCON

Ahli-ahli Parlimen Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mengambil ketetapan untuk tidak akan menyokong Belanjawan 2021 semasa hari pengundian nanti.

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, proses perbahasan yang berlangsung selama tiga minggu ini dilihat amat mengecewakan apabila tiada sebarang tanda dari pihak kerajaan untuk mendengar atau menerima pandangan yang diajukan ahli-ahli Parlimen.

Katanya, keutamaan kerajaan hanya untuk memastikan belanjawan yang mementingkan kelangsungan politik itu diluluskan segera, mengambil contoh isu kuarantin Ahli Parlimen Keningau, Datuk Dr Jeffrey Kitingan.

Menurutnya, kuarantin selama 14 hari tiba-tiba sahaja tidak menjadi satu ketetapan hanya kerana kerajaan mahukan undi mereka.

“Tiba-tiba sahaja, kuarantin 14 hari yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan kepada mereka yang terlibat di dalam pergerakan dari Sabah Sarawak ke Semenanjung, tidak lagi menjadi satu ketetapan.

“Kerana apa dasar atau ketetapan ini tidak berkuat-kuasa? Ia kerana undi ahli-ahli Parlimen ini perlu kepada kerajaan untuk meluluskan belanjawan.

“Setiap perlakuan dan pertukaran dasar dan ketetapan dibuat seperti menukar pakaian semata-mata untuk kepentingan politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, sekiranya belanjawan tidak diluluskan, ia membuktikan kerajaan telah hilang keabsahan kerana tidak mempunyai majoriti yang cukup untuk meluluskan belanjawan.

Menurutnya, jika itu berlaku dan Perdana Menteri meletakkan jawatan atau menasihatkan Yang di-Pertuan Agong membubar Parlimen, proses pemilihan kerajaan baharu boleh dilakukan melalui cara selain pilihanraya.

Katanya, proses yang mungkin boleh dipertimbangkan ialah memberi peluang kepada Parlimen untuk menentulan siapakah dalam kalangan ahli-ahli Parlimen yang mempunyai sokongan majoriti.

Jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa ahli Parlimen tersebut mempunyai sokongan majoriti, maka dia boleh dipilih untuk menjadi Perdana Menteri untuk menubuh Kerajaan yang baru dan berkhidmat sehingga tamat penggal pemerintahan dan tiba masa untuk pilihanraya umum ke-15 diadakan.

“Setelah kerajaan baharu ditubuh, maka kerajaan ini boleh memilih untuk membentangkan belanjawan yang baru ataupun mengambil velanjawan yang telah ditolak dan melakukan pindaan-pindaan yang telah diminta dahulu.

“Semua ini dapat dilakukan di dalam sidang Parlimen khas dan tidak akan mengambil masa yang begitu lama,” katanya lagi.