"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ku Li cadang 'kerakyatan Melayu' untuk semua kaum

M Fakhrull Halim

Pengerusi Lembaga Penasihat Umno Tengku Razaleigh Hamzah mencadangkan agar idea yang pernah diperjuangkan tokoh politik yang juga bekas presiden PAS, Dr Burhanuddin al-Helmy, berhubung idea negara bangsa (nasion) Melayu dapat dihidupkan semula.

Jelasnya, gagasan itu kini bermaksud semua rakyat tanpa mengira kaum dan keturunan adalah satu negara bangsa Malaysia.

“Dr Burhanuddin pada ketika itu telah mengusulkan supaya kita semua rakyat di Malaya ini, tak kira apa keturunan, akan dinamakan Melayu.

“Kerana kita daripada gagasan Nusantara ini yang sudah jadi Tanah Melayu, wajar difikirkan semula, bahawasanya kita ini adalah orang Melayu,” katanya.

Razaleigh juga memberikan contoh negara bangsa (nasion) Indonesia yang hanya menggunakan satu nama kerakyatan sebagai identiti kebangsaan yang tidak mengira kaum atau keturunan.

“Kita pun (boleh lakukan sebegitu), supaya takkan ada lagi pertikaian antara kaum.

“Saya rasa tak ada apa yang hendak direbutkan. Sama-sama boleh dikongsi,” katanya dalam bual bicara Minda Profesor Negara Mengenai Masa Depan Malaysia di Kajang hari ini.

Burhanuddin merupakan pemimpin parti politik Melayu pertama selepas perang dunia kedua yang menuntut kemerdekaan, Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang kemudian menubuhkan gabungan sayap pertubuhan berideologi kiri Pusat Tenaga Rakyat (Putera).

Sementara itu, Kesatuan Malaya Demokratik (MDU) di Singapura dan beberapa kumpulan lain, membentuk Majlis Bertindak Bersama Se-Malaya (AMCJA) yang bersifat pelbagai kaum.

Gabungan Putera-AMCJA kemudian menggagaskan Perlembagaan Rakyat pada 1947 yang mengandungi 10 prinsip teras bagi menggantikan Malayan Union yang menimbulkan kontroversi hebat di Tanah Melayu pada tahun 1946.

Prinsip keenam Perlembagaan Rakyat menggariskan bahawa: Kerakyatan yang serata bagi semua orang yang menganggap Tanah Melayu sebagai tempat tinggal tetap dan sanggup mencurahkan kesetiaannya tanpa berbelah bagi.

Prinsip kesembilan pula berbunyi: Kerakyatan Malaya haruslah dinamakan Melayu.

Perlembagaan Rakyat terkubur apabila British mengharamkan pertubuhan-pertubuhan dalam Putera-AMCJA ketika mengisytiharkan darurat 1948.

Perlembagaan Persekutuan yang digubal hari ini dirangka oleh sebuah suruhanjaya yang dinamakan sempena nama pengerusinya iaitu seorang hakim Mahkamah Rayuan England, Lord William Reid.

Cadangan Suruhanjaya Reid diterima oleh Parlimen British pada Jun 1957 dan berkuatkuasa secara rasminya pada 31 Ogos iaitu selepas kemerdekaan.

Perlembagaan Persekutuan itu kemudian dipinda menjadi Perlembagaan Malaysia apabila Tanah Melayu bergabung dengan Singapura, Sabah dan Sarawak lalu membentuk Malaysia.

Ezam umum akan cabar Mahathir dalam PRU depan

Malaysiakini

Bekas senator Mohamad Ezam Mohd Nor mengumumkan akan bertanding melawan Dr Mahathir Mohamad dalam pilihan raya umum akan datang.

Katanya, dia sedia bersemuka dengan bekas perdana menteri itu sama ada di kerusi disandangnya di Langkawi atau di mana-mana tempat.

“Kita tidak boleh biarkan Mahathir berjaya hancurkan reformasi lagi,” katanya yang kini bergerak melalui platform Gerakan Reformasi 98 (Gerak98).

Gerak98 merupakan platform bagi pendukung semangat gerakan reformasi 1998 yang dicetuskan oleh Presiden PKR Anwar Ibrahim selepas dipecat oleh Mahathir pada tahun 1998.

Mahathir ketika itu menjadi perdana menteri buat kali perdana dan Anwar bertindak sebagai timbalannya.

Ezam yang terkenal dengan pidato lantangnya ketika itu berkhidmat sebagai setiausaha politik Anwar.

Dia bagaimanapun pernah terlibat dengan pelbagai parti, termasuk PKR, Umno dan Bersatu, selepas itu.

Bercakap kepada Malaysiakini, Ezam juga berkata Presiden Parti Pejuang Tanah Air yang juga anak Mahathir, Muhkriz, akan turut dicabar oleh tokoh Gerak98 daripada Kedah.

Tak ada masalah, 'PH jalan terus' - Anwar

Di tengah-tengah gesaan Amanah dan DAP untuk "pelarasan semula (reset) politik" atau "gabungan besar," Presiden PKR Anwar Ibrahim percaya semuanya baik-baik sahaja bagi Pakatan Harapan.

Bercakap kepada pemberita di Alor Setar, Kedah hari ini, Anwar berkata Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng telah memaklumkan hal tersebut kepadanya.

"Dia suruh saya bawa dalam mesyuarat. We move on (jalan terus)...

"Tiada masalah. PH boleh undang yang lain. Kita akan bawa dalam mesyuarat," katanya.

Anwar bercakap kepada wartawan selepas bertemu dengan akar umbi parti. Menurut Anwar, dia telah mengingatkan akar umbi mengenai PKR yang berteraskan Melayu Islam tetapi juga berbilang kaum, bersama misi untuk membasmi rasuah dan menegakkan keadilan.

Anwar tidak menjawab pertanyaan berulang kali yang diajukan kepada: "Adakah anda masih memiliki nombor?"

Ketika ditanya apakah dia yakin akan menewaskan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada PRU15, Anwar menjawab: "Diharapkan dapat ditumbangkan segera."

Pada 23 September Anwar berkata memiliki nombor untuk menumbangkan Muhyiddin. Bagaimanapun, ketika Dewan Rakyat bersidang dari Oktober ke pertengahan Disember lalu, jelas Muhyiddin mempunyai sokongan majoriti ahli parlimen.

Selepas itu, muncul tuntutan supaya dilakukan "pelarasan semula (reset) politik" atau "gabungan besar" yang menurut Mohamad dan Lim perlu untuk merapatkan saf serta kekuatan pembangkang.

Gabungan PH - yang terdiri daripada PKR, DAP dan Amanah - kelihatan tidak memiliki hubungan baik dengan Muda, Pejuang, Parti Sarawak Bersatu dan Warisan yang secara kolektif mempunyai 16 anggota Parlimen.

Tokoh-tokoh Amanah dan DAP baru-baru ini menggesa PKR untuk menjalin hubungan erat dengan parti-parti pembangkang yang lain, walaupun itu bermakna Anwar perlu berdamai dengan Dr Mahathir Mohamad.