"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Wanita diperkosa depan suami

Agensi

New Delhi: Sungguh kejam seorang wanita di India dirogol enam lelaki kira-kira empat jam di depan suaminya sendiri.

Insiden itu berlaku malam Sabtu lalu di sebuah bukit Kampung Bakoria-Bhalwahi yang terletak dalam bidang kuasa kawasan balai polis Satbarwa di Palamu Jharkhand.

Polis menahan dua suspek dari kampung Bakoria iaitu Bhola Ram dan Dharmendra Ram serta melancarkan operasi mencari untuk menangkap suspek lain yang terbabit dalam kes itu.

Selepas menerima laporan daripada suami wanita itu, Rishikesh Kumar Rai, yang bertanggungjawab di balai polis Satbarwa, menghantar wanita itu ke MMCH Medininagar untuk pemeriksaan kesihatan.

Saudara mangsa yang hadir ke balai polis Satbarwa berkata, wanita itu pergi ke rumah ibunya di kampung Rewat dengan berjalan kaki, Sabtu lalu, selepas bertengkar dengan mentuanya yang tinggal di kampung Sutha.

Pada waktu petang, mentuanya datang ke Tumbagada di Satbarwa untuk memujuk dan membawanya pulang, namun wanita itu berkeras tidak mahu pulang.

Mentuanya akhirnya akur dan meminta anaknya iaitu suami wanita itu menemaninya supaya dia selamat sampai ke rumah ibunya.

Lelaki itu menghubungi abang iparnya Naresh Kumar, seorang penduduk kampung Bari, untuk menumpangkannya ke rumah mentuanya.

Apabila ketiga-tiga mereka tiba di Bhaluahi kira-kira jam 8 malam, enam lelaki menahan, merampas telefon bimbit dan membelasah mereka.

Suspek kemudian merogol wanita itu selama kira-kira empat jam, manakala suaminya dan Kumar dipegang suspek lain.

Selepas merogol wanita itu secara beramai-ramai, suspek memaksa wanita itu dan Kumar menaiki basikal mereka dan membawa mereka ke tempat lain serta meninggalkan suami wanita itu.

Wanita itu dan Kumar dibantu penduduk kampung Sadhwadih dan membuat laporan di Balai Polis Manika sehingga dua suspek ditahan sebelum dirujuk ke Balai Polis Satbarwa.

-hmetro

Kes VLN: Pendakwaan fail rayuan terhadap pembebasan Zahid

Malaysiakini

Pihak pendakwaan telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan dan melepaskan presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dalam kes rasuah sistem visa luar negara (VLN).

Notis untuk membawa kes itu ke peringkat Mahkamah Rayuan difailkan hari ini, menurut laporan The Edge.

Pada Jumaat lalu, hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Mohd Yazid Mustafa memutuskan pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie dan tiga saksi utama kes itu tidak boleh dipercayai.

Tiga saksi tersebut adalah bekas Pengarah Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) Harry Lee Vui Khiun, Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani dan David Tan Siong Sun yang merupakan saksi pendakwaan (SP) ke-15, 16 dan 17.

"Saya dapati tiga saksi utama yang dipanggil oleh pihak pendakwaan adalah tidak boleh dipercayai dan tidak mempunyai kredibiliti,” katanya ketika itu.

Zahid dihadapkan dengan 33 pertuduhan menerima rasuah dari UKSB berjumlah SG$13.56 juta (RM43.6 juta) antara 2014 dan 2017.

Dia yang merupakan bekas timbalan perdana menteri dan bekas menteri dalam negeri turut dihadapkan tujuh pertuduhan mendapat SG$1.15 juta, RM3.125 juta, 15,000 Swiss franc (RM70,000) and AS$15,000 (RM68,000) dari syarikat sama.

Dia didakwa menerima rasuah untuk melanjutkan kontrak UKSB untuk mengendalikan servis one-stop centre (OSC) di China dan sistem VLN, serta mengekalkan kontrak dengan Kementerian Dalam Negeri untuk membekalkan sistem VLN bersepadu.

Pendakwaan dibuat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai rasuah atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Pada masa ini Zahid turut berdepan satu lagi perbicaraan atas pertuduhan pecah amanah jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan itu kini di peringkat pembelaan.

Tawar RM9.1 juta upah tangkap rakyat Malaysia lolos

Noor Hidayah Tanzizi

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

DATUK Hishamuddin Hashim (kiri) bersama Tan Sri Musa Hassan menunjukkan dokumen untuk diserahkan kepada kedutaan Laos. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM

DATUK Hishamuddin Hashim (kiri) bersama Tan Sri Musa Hassan menunjukkan dokumen untuk diserahkan kepada kedutaan Laos. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM

Kuala Lumpur: Dijanjikan wang ganjaran lumayan bernilai AS$2 juta (RM9.1 juta).

Itu tawaran yang dijanjikan sindiket penipuan kerja bagi menangkap rakyat Malaysia yang berjaya melarikan diri dari Golden Triangle dipercayai tempat mangsa dikurung di Laos.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemasyarakatan Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, sindiket berkenaan didakwa menawarkan ganjaran kepada mana-mana individu yang dapat menangkap semula rakyat negara ini yang berjaya meloloskan diri.

Menurutnya, empat rakyat negara ini berjaya melarikan diri dari Golden Triangle dengan pelbagai cara dan dimaklumkan hari ini juga ada enam lagi individu yang berjaya diselamatkan.

"Mereka ini ada yang mengorek lubang untuk menyelamatkan diri dan sindiket menawarkan wang ganjaran sebanyak AS$2 juta sekiranya ada orang dapat menahannya.

"Rakyat kita di Laos dikurung dan diseksa selain dipaksa terbabit dengan jenayah penipuan, selain ada yang diugut untuk dijual kepada sindiket lain, dilacurkan dan dijual organ mereka.

"Malah, kita dapat maklumat secara tidak rasmi sudah ada kematian berlaku membabitkan sindiket itu dan ada satu kematian direkodkan secara rasmi di Mynamar," katanya ketika ditemui selepas menyerahkan memorandum di hadapan Kedutaan Laos di sini, hari ini.

Hishamuddin berkata, memorandum itu untuk meminta kerajaan Laos mengeluarkan kenyataan dan berusaha bersama dengan Kedutaan Malaysia di negara itu untuk membebaskan serta menyelamatkan rakyat negara ini yang terperangkap di Laos terutama di kawasan Golden Triangle.

Menurutnya, mereka juga berharap Kerajaan Laos dapat mengikut contoh Kerajaan Kemboja yang menubuhkan 'Task Force' dalam usaha menghalang kegiatan itu.

"Kita tidak mahu ada tindakan tidak mengikut undang-undang sebab itu kita guna saluran diplomatik dan cara demokratik untuk menyatakan kepada Kerajaan Laos mengenai perkara ini.

"Atas semangat setia kawan Asean dan Kerajaan Malaysia menjaga rakyat Laos di sini, ini juga harapan kita daripada kerajaan negara itu mereka juga perlu menjaga rakyat Malaysia di sana," katanya

Sementara itu, penasihat MHO, Tan Sri Musa Hassan berkata, mangsa yang selamat digesa membuat laporan polis untuk membantu pihak berkuasa mengenal pasti inidvidu yang terbabit dengan kes ini

"Ini supaya kita dapat menghapuskan aktiviti dan membawa mereka ke muka pengadilan," katanya.