"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kes VLN: Pendakwaan fail rayuan terhadap pembebasan Zahid

Malaysiakini

Pihak pendakwaan telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan dan melepaskan presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dalam kes rasuah sistem visa luar negara (VLN).

Notis untuk membawa kes itu ke peringkat Mahkamah Rayuan difailkan hari ini, menurut laporan The Edge.

Pada Jumaat lalu, hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Mohd Yazid Mustafa memutuskan pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie dan tiga saksi utama kes itu tidak boleh dipercayai.

Tiga saksi tersebut adalah bekas Pengarah Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) Harry Lee Vui Khiun, Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani dan David Tan Siong Sun yang merupakan saksi pendakwaan (SP) ke-15, 16 dan 17.

"Saya dapati tiga saksi utama yang dipanggil oleh pihak pendakwaan adalah tidak boleh dipercayai dan tidak mempunyai kredibiliti,” katanya ketika itu.

Zahid dihadapkan dengan 33 pertuduhan menerima rasuah dari UKSB berjumlah SG$13.56 juta (RM43.6 juta) antara 2014 dan 2017.

Dia yang merupakan bekas timbalan perdana menteri dan bekas menteri dalam negeri turut dihadapkan tujuh pertuduhan mendapat SG$1.15 juta, RM3.125 juta, 15,000 Swiss franc (RM70,000) and AS$15,000 (RM68,000) dari syarikat sama.

Dia didakwa menerima rasuah untuk melanjutkan kontrak UKSB untuk mengendalikan servis one-stop centre (OSC) di China dan sistem VLN, serta mengekalkan kontrak dengan Kementerian Dalam Negeri untuk membekalkan sistem VLN bersepadu.

Pendakwaan dibuat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai rasuah atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Pada masa ini Zahid turut berdepan satu lagi perbicaraan atas pertuduhan pecah amanah jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan itu kini di peringkat pembelaan.

Tiada ulasan: